Ancaman senyap kesihatan rakyat, ekosistem negara

Ancaman senyap kesihatan rakyat, ekosistem negara

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Di sebalik deretan kontena yang dibawa masuk ke negara ini, terselit ancaman senyap terhadap kesihatan rakyat dan ekosistem.

Malaysia kini dikatakan terus dibanjiri sisa plastik haram yang bukan sahaja mencemarkan tanah dan sungai, malah berpotensi menjadi punca penyakit kronik termasuk kanser.

Pakar Toksikologi, Prof Dr Mustafa Ali Mohd berkata, kebanyakan sisa plastik yang masuk tanpa kebenaran terdiri daripada bahan tercemar, tidak boleh dikitar semula atau mengandungi toksin berbahaya.

“Apabila sisa ini dibakar, ia melepaskan asap beracun serta bahan kimia seperti dioksin dan furan yang boleh menyebabkan masalah pernafasan serta kanser dalam jangka panjang.

“Lebih membimbangkan bahan kimia toksik daripada sisa ini turut meresap ke tanah dan air, diserap tanaman dan haiwan, akhirnya masuk ke dalam rantaian makanan manusia.

“Ia juga memasuki ke dalam air minuman melalui bekalan air yang disediakan daripada sumber air sungai yang dirawat.

“Proses rawatan air di Malaysia tidak mampu menyahkan sisa plastik dari dalam air,” katanya yang mengulas mengenai ancaman senyap kesan daripada sisa plastik haram dibawa masuk ke negara ini kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, pendedahan kepada mikroplastik menjadi ancaman baharu apabila ia memasuki tubuh manusia melalui makanan laut, air minuman dan udara yang menyebabkan tekanan oksidatif, keradangan dan gangguan hormon.

“Mikroplastik yang terhasil daripada sisa plastik terurai boleh dimakan hidupan laut seperti ikan, udang dan burung laut. Ini menyebabkan gangguan sistem pencernaan dan boleh membawa maut kepada haiwan itu.

“Mikroplastik yang dimakan hidupan laut boleh terkumpul dalam tisu dan akhirnya dimakan manusia sehingga menyebabkan kesan kesihatan jangka panjang seperti keradangan dan gangguan metabolik selain obesiti dan gangguan dalam perkembangan kognitif kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh lagi dijadikan sebagai ‘tong sampah’ dunia apabila statistik rampasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuktikan negara semakin terancam kerana sering dijadikan sasaran negara luar bagi membuang sisa plastik.

“Kastam pernah menggagalkan 10 cubaan menyeludup sisa plastik ke negara ini termasuk rampasan besar 35 tan sisa plastik di Pelabuhan Klang pada Ogos 2024 dengan Amerika Syarikat sahaja mengeksport lebih 35,000 tan sisa plastik ke Malaysia sekali gus menunjukkan negara ini masih menjadi sasaran utama bagi pelupusan sisa asing.

“Kerajaan perlu bertindak lebih tegas dengan mengharamkan sepenuhnya import sisa plastik dari negara yang tidak mematuhi Konvensyen Basel,” katanya.

SIRIM jadi badan tunggal keluar CoA

Bermula 1 Julai lalu, SIRIM Bhd diberi mandat untuk menjadi badan pemeriksa tunggal dan pengeluar sijil kelulusan (CoA) bagi import sisa plastik ke Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, TS Md Adha Rahmat berkata, selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh pelaksanaan ekonomi kitaran dalam sektor perindustrian dan menggalakkan pertumbuhan hijau serta daya tahan iklim, Malaysia meningkatkan usaha untuk mengawal selia import sisa plastik ke negara ini dengan lebih baik.

“Berpandukan prinsip ketelusan, tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang, Malaysia terbuka untuk mengeluarkan CoA bagi pengimportan sisa plastik.

“Dengan syarat pengimport memenuhi semua syarat di bawah undang-undang Malaysia, mematuhi keperluan yang digariskan di dalam garis panduan pengimportan dan pemeriksaan sisa plastik yang dikeluarkan oleh SIRIM, negara yang telah menandatangani dan meratifikasi The Basel Convention on the Control of Transboundary Movements of Hazardous Wastes and Their Disposal ataupun negara yang mempunyai perjanjian dengan Malaysia mengenai pergerakan rentas sempadan sisa plastik.

“Proses sama dalam pengimportan e-waste (proses pengimportan e-waste di bawah Jabatan Alam Sekitar) akan digunakan dalam import sisa plastik bagi mengelak bahan berbahaya dibawa masuk,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Harian Metro, baru-baru ini.

Md Adha berkata, pihaknya tidak mahu kemasukan sisa plastik yang tidak diketahui kandungan di dalamnya dan dibimbangi berbahaya kepada negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top