Ancelotti berang pemain Brazil kecut berdepan Maghribi

Ancelotti berang pemain Brazil kecut berdepan Maghribi
Ancelotti berang pemain Brazil kecut berdepan Maghribi

Bintang Brazil, Vinicius Junior tersungkur selepas diasak Achraf Hakimi dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C. Foto: Agensi

CARLO Ancelotti tidak berselindung apabila mengakui Brazil memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan penuh kegugupan selepas diikat 1-1 oleh Maghribi dalam aksi Kumpulan C di Stadium New York New Jersey.

Jurulatih Brazil itu menyifatkan aksi babak pertama anak buahnya sebagai tidak tersusun, dengan terlalu banyak kehilangan bola dan kekalahan dalam duel penting yang memberi ruang kepada Maghribi menguasai permainan awal.

“Saya tidak rasa kami bermula dengan baik. Pasukan agak gugup, hilang bola terlalu kerap dan kalah dalam banyak duel. Babak pertama tidak bagus,” kata Ancelotti.

Brazil bagaimanapun bangkit pada babak kedua untuk sekurang-kurangnya mengelak kekalahan, namun pengendali berpengalaman itu mengakui pasukannya masih jauh daripada tahap sebenar.

“Kami lebih baik pada babak kedua tetapi kami memberi terlalu banyak ruang kepada Maghribi untuk melancarkan serangan balas,” tambahnya.

Dalam aksi tersebut, Maghribi terlebih dahulu mengejutkan Brazil menerusi Ismael Saibari pada minit ke-21 selepas memanfaatkan kesilapan di bahagian tengah.

Brazil kembali menyamakan kedudukan menerusi Vinícius Júnior pada minit ke-32 hasil gerakan individu berkualiti tinggi yang menembusi benteng lawan.

Maghribi yang tampil disiplin dan tersusun, terus memberi masalah kepada Brazil menerusi Achraf Hakimi dan Bilal El Khannouss, sekali gus memastikan perlawanan kekal seimbang hingga wisel penamat.

Brazil beberapa kali cuba mencari gol kemenangan, namun ketumpulan penyudah dan organisasi pertahanan Maghribi memastikan keputusan kekal 1-1.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dalam aksi pembukaan yang menyaksikan Brazil masih mencari rentak di bawah Ancelotti, manakala Maghribi terus membuktikan mereka bukan hadir sebagai pelengkap kumpulan.

Scroll to Top