MINNEAPOLIS: Barisan juri semalam memulakan pertimbangan mendalam bagi menentukan keputusan perbicaraan kes berhubung kematian lelaki berkulit hitam, George Floyd, yang mencetuskan rusuhan besar-besaran pada tahun lalu.
“Anda mesti benar-benar adil. Teliti serta pertimbangkan bukti, dan tegakkan undang-undang,” kata Hakim Peter Cahill.
Beliau berkata demikian dalam arahan terakhirnya kepada juri yang mendengar perbicaraan bekas anggota polis Minneapolis berkulit putih, Derek Chauvin, dituduh membunuh Floyd.
Chauvin, 45, berdepan pertuduhan membunuh Floyd pada 25 Mei 2020 – insiden yang membawa kepada gelombang bantahan terhadap ketidakadilan berunsur perkauman, sekali gus memahat titik penting berkait akauntabiliti polis.
Rakaman video ketika kejadian menunjukkan Chauvin menekan lututnya pada leher Floyd, 46, selama lebih sembilan minit dalam keadaan mangsa bergari dan tertiarap di atas jalan sambil mengadu tidak boleh bernafas.
Pendakwa raya dalam hujah penggulungan kepada barisan juri, berulang kali merujuk serta menunjukkan rakaman video terbabit yang telah disaksikan jutaan orang di serata dunia.
“Kes ini benar-benar seperti apa yang anda fikir apabila anda kali pertama menonton video itu.
“Percaya mata anda. Ia benar-benar seperti apa yang anda tahu, perasaan yang anda alami dan apa yang dalam lubuk hati anda kini.
“Ini bukan kepolisan, ini adalah pembunuhan. Sembilan minit dan 29 saat penyalahgunaan kuasa yang mengejutkan.
“Defendan bersalah atas kesemua tiga pertuduhan, dan tanpa alasan,” kata pendakwa raya, Steve Schleicher, kepada barisan juri.
Peguam bela, Eric Nelson, dalam hujah penggulungannya pula berkata juri perlu melihat tindakan Chauvin itu dari ‘perspektif seorang anggota polis yang munasabah’.
“Dia bukan sengaja bertindak tanpa mengikut undang-undang. Anggota polis ini menjalankan tugas mereka. Anda perlu mengambil kira bahawa anggota polis adalah manusia yang boleh melakukan kesilapan,” katanya.
Nelson turut memberitahu mahkamah bahawa penyakit jantung dan penggunaan dadah oleh Floyd adalah faktor kematian mangsa. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




