Anda semua tak berguna, tunggu kami dibunuh – Wartawan Palestin

Anda semua tak berguna, tunggu kami dibunuh – Wartawan Palestin

GAZA CITY – Dalam satu kenyataan yang penuh kecewa dan sedih, wartawan foto Palestin, Motaz Azaiza seolah-olah tidak lagi berharap kepada dunia untuk menyelamatkan penduduk Gaza.

Melalui platform X, beliau yang dinobatkan sebagai Man of the Year dari majalah terkenal GQ Edisi Timur Tengah kerana keberaniannya membuat laporan di bawah ancaman pegeboman Israel menyifatkan seluruh dunia sebagai tidak berguna.

Meluahkan rasa kecewanya, Motaz berkata, dunia hanya melihat penduduk Gaza dibunuh satu demi satu tanpa berbuat apa-apa.

Lelaki itu yang mempunyai lebih 18 juta pengikut di Instagram itu percaya, gilirannya untuk dibunuh oleh Israel semakin hampir dan yakin kematiannya tidak ada mendapat sebarang pembelaan.

“Anda semua tidak berguna. Tanpa segan silu melihat kami dibunuh seorang demi seorang.

“Akan menunggu giliran saya untuk dibunuh oleh Israel dan percayalah anda tidak akan berbuat apa-apa,” katanya penuh kecewa.

Hantaran itu mendapat 70,000 perkongsian dengan 136 reaksi dan 4,300 komen yang rata-rata memohon maaf kerana tidak dapat berbuat-apa.

“Kami minta maaf Motaz, tolong maafkan kami. Kami tahu kami tidak melakukan secukupnya. Harap selamat walau di mana anda berada. Mendoakan awak sentiasa,” komen Aiman.

“Kamu benar, Motaz. Kami hanya boleh mencuba yang terbaik dengan cara sendiri. Lemparkan batu kepada Israel. Mungkin atau mungkin tidak mencukupi tetapi kami boleh berjanji kepada anda bahawa kami tidak akan berhenti,” kata Eve.

“Kami mohon maaf tetapi kami merasakan kesakitan anda, kami menerima bahawa kami tidak berguna, tetapi kami mendoakan saudara dan saudari Palestin yang kami cintai,” komen K.

Montaz kehilangan rakan setugasnya Ahmed Ismail semalam selepas dibom oleh Israel.

Dua hari lalu media melaporkan Israel dalam tempoh 84 hari telah membunuh 106 wartawan yang membuat liputan serangan rejim itu ke atas penduduk Gaza.

Israel turut membunuh keluarga wartawan terbabit dengan mengebom rumah yang didiami mereka.

Nama Motaz Azaiza menjadi bualan penduduk dunia selepas dia menjadi antara pengamal media yang tidak putus-putus berkongsi serta melaporkan keadaan terkini di Gaza.

Jurugambar Palestin itu bukan sahaja dilihat sanggup bergadai nyawa demi membuktikan betapa kejamnya serangan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin, malah dia dikatakan turut menjadi sasaran bedilan tentera penceroboh tersebut. – Agensi

Scroll to Top