kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) meraikan pencapaian besar apabila jumlah pendaftaran jemaah bagi musim 1447 Hijrah melepasi 51,000 orang, sekali gus mengatasi sasaran awal 50,000 jemaah yang ditetapkan syarikat.
Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, kejayaan itu adalah pencapaian signifikan syarikat kerana melepasi sasaran 50,000 jemaah lebih awal daripada kebiasaannya.
Katanya, ia dipacu menerusi sistem pengurusan serta pemasaran yang semakin matang, selain keyakinan orang ramai yang terus meningkat terhadap Andalusia.
“Sasaran sebenar syarikat adalah untuk mencapai 80,000 jemaah, satu matlamat yang diletakkan sejak tiga tahun lalu pasca-Covid.
“Andalusia juga yakin mampu menyantuni jumlah besar itu (80,000) berdasarkan kapasiti tenaga kerja, fasiliti dan ruang yang ada,” katanya kepada media yang ditemui di Majlis Kesyukuran Andalusia sempena pencapaian bersejarah 50,000 jemaah berdaftar bagi musim 1447H, di sini, hari ini.
Menurutnya, majlis kesyukuran itu sebagai tanda penghargaan kepada seluruh warga kerja, pegawai pemasaran, syarikat penerbangan dan pembekal yang menyokong perjalanan operasi syarikat.
Dalam masa sama, Ida Riswana berkata, Andalusia kekal memegang prinsip ‘Amanah dan Integriti’, lebih-lebih lagi ketika industri umrah berdepan peningkatan kes penipuan pakej oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Keutamaan kami adalah memastikan jemaah berangkat dan pulang dengan selamat tanpa sebarang keraguan atau risiko kerana kepercayaan pelanggan adalah amanah terbesar kami.
“Oleh itu, kami percaya dapat mencapai sasaran lebih tinggi dan sekiranya kita lebihkan lagi usaha, insya-Allah kita boleh capai 80,000 dan mungkin selepas itu kita akan cuba membuat rekod baharu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




