TAWARAN pakej umrah serendah RM7,490 lengkap dengan diskaun khas RM200 sempena Matta Fair 2025 dijangka menjadi tarikan utama Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) yang menyasarkan pendaftaran 8,000 jemaah sepanjang tiga hari pameran sehingga Ahad ini.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, keyakinan itu hadir berikutan pengalaman lebih empat dekad Andalusia mengendalikan ibadah umrah serta jalinan kerjasama strategik bersama Saudia Airlines yang menawarkan kemudahan unik kepada jemaah.
“Bagi tempoh tiga hari Matta Fair, kita tawarkan diskaun RM200 dengan harga pakej serendah RM7,490. Harga ini sangat berpadanan berbanding yang lain kerana kita berjaya menawarkan potongan tambahan hasil kerjasama dengan Saudia Airlines,” katanya.

Andalusia menyasarkan 8,000 pendaftaran jemaah umrah sempena Matta Fair 2025.
Menurut Md Daud, keistimewaan utama penerbangan Saudia ialah kemudahan ruang solat di dalam pesawat yang mampu memuatkan sehingga enam orang jemaah pada satu masa. Setiap kali masuk waktu, pengumuman dibuat bagi membolehkan penumpang menunaikan solat secara berjemaah.
“Ini kelebihan besar untuk jemaah yang menunaikan umrah kerana solat berjemaah tetap dapat dilaksanakan walaupun berada di udara pada ketinggian 35,000 kaki. Sebagai pendakwah dan pembimbing, saya tekankan kepada jemaah agar tidak meninggalkan solat, dan Saudia sendiri menyediakan ruang khas untuk tujuan itu,” ujarnya.
Selain itu, semua penerbangan dari Kuala Lumpur menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner, model terkini yang menawarkan keselesaan dan teknologi moden.
Pesawat Dreamliner siri 900 menempatkan 274 tempat duduk ekonomi serta 24 kelas perniagaan, manakala Dreamliner siri 10 menyediakan 333 tempat duduk ekonomi dengan 24 kelas perniagaan.
“Walaupun Saudia ada pesawat Boeing 777, untuk Malaysia kami kekalkan penggunaan Dreamliner sejak awal lagi bagi memberi pengalaman terbaik kepada jemaah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Md Daud berkata, Andalusia turut merancang pelbagai program promosi sepanjang Matta Fair termasuk cabutan bertuah di 65 cawangan seluruh negara dengan hadiah berupa barangan elektrik, motosikal, kereta serta pakej umrah keluarga.
Beliau menegaskan, Andalusia sentiasa mengutamakan integriti dan menjaga amanah jemaah dengan menyediakan bimbingan menyeluruh sejak pendaftaran lagi.
“Kita beri resit rasmi berserta jaminan, buku panduan umrah, kursus di semua 65 cawangan, selain bimbingan mutawwif berpengalaman yang mengiringi jemaah dari Malaysia hingga ke Tanah Suci.
“Malah, bagi jemaah yang memerlukan rawatan khusus seperti dialisis, kita bantu urusan rawatan di hospital di sana,” katanya.
Md Daud berkata, kekuatan Andalusia untuk terus bertahan dalam industri ini adalah kerana fokus kepada bimbingan menyeluruh, sokongan kewangan kukuh serta pasukan yang terlatih.
“Baru-baru ini, Andalusia turut menerima pengiktirafan antarabangsa atas keberkesanan dalam menguruskan jemaah. Ini membuktikan reputasi Andalusia terus diyakini bukan sahaja di Malaysia, malah di luar negara,” katanya.
Pada Matta Fair April lalu, Andalusia berjaya mendaftarkan kira-kira 6,000 jemaah dan angka itu diyakini meningkat kepada 8,000 bagi pameran kali ini.
Sementara itu, pengunjung pameran turut melahirkan keyakinan terhadap Andalusia.

Nurlis
Nurlis Abdul Aziz, 43, dari Jalan Duta, Kuala Lumpur berkata, keluarganya sudah beberapa kali menunaikan umrah dengan Andalusia dan berpuas hati dengan pengurusan yang sistematik.
“Sejak dulu lagi keluarga saya pilih Andalusia kerana urusan mereka jelas, telus dan mutawwif yang mengiringi pun sangat membantu. Pakej yang ditawarkan juga sesuai dengan kemampuan kebanyakan keluarga. Sebab itu saya yakin untuk terus bersama Andalusia,” katanya.
Bagi Ismanizal Ismail, 49, dari Klang, Selangor, pengalaman luas syarikat itu meyakinkannya untuk mendaftar.
“Andalusia bukan syarikat baru, malah sudah terbukti lama bertahan dalam industri. Saya yakin mereka mampu memberi perkhidmatan terbaik untuk jemaah,” katanya.

Nabila (kiri) dan kakaknya, Amirah yang turut memilih perkhidmatan Andalusia.
Dua beradik dari Sabah, Nabila Natasha Sijih, 25, dan Amirah Fikriyah Sijih, 26, pula turut berkongsi kepuasan hati terhadap tawaran Andalusia.
“Kami datang dari jauh semata-mata mahu melihat sendiri tawaran Andalusia di Matta Fair. Memang berbaloi kerana selain harga lebih rendah, perkhidmatan yang ditawarkan juga diyakini,” kata Nabila.