Andalusia yakin capai baki sasaran 15,000 lagi jemaah umrah

Andalusia yakin capai baki sasaran 15,000 lagi jemaah umrah

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia), optimis menamatkan jualan baki 15,000 tempat duduk penerbangan umrah menerusi penganjuran Kempen October Deals 2025 yang berlangsung serentak di empat lokasi utama seluruh negara bermula 17 hingga 20 Oktober ini.

Kempen berskala besar itu dijalankan di MATTA Muslim Travel Fair (WTC Kuala Lumpur), GoTravel Expo (Mid Valley Megamall), Ibu Pejabat Andalusia di Desa Pandan serta di 62 cawangannya di seluruh Malaysia.

Ahli lembaga pengurusan bahagian pemasaran, jualan, data dan acara Andalusia, Izzati Ibrahim berkata, kempen yang dilaksanakan Andalusia adalah sebagai usaha mencapai misi membawa 80,000 jemaah umrah bagi musim 1447H hingga 1448H.

“Misi kami adalah membawa sekurang-kurangnya 80,000 tetamu Allah setiap tahun menunaikan umrah dengan tenang dan teratur.

“Kami mahu setiap jemaah hanya fokus pada

ibadah, manakala semua urusan lain seperti logistik, penerbangan, penginapan diuruskan oleh Andalusia dengan penuh amanah,” katanya.

Menurutnya, kali ini Andalusia turut menyediakan produk keluaran khas Andalusia berupa kemeja T khas, miniatur bagasi dan pelbagai cenderahati untuk 1,000 pelanggan pertama.

Beliau berkata, Andalusia turut memperkenalkan sistem pendaftaran, pembayaran dan pangkalan data jemaah secara digital bagi menjadikan setiap urusan lebih telus, selamat dan pantas.

“Andalusia kini bukan sekadar menjual pakej, tetapi membimbing jemaah sepenuhnya dari pendaftaran hingga pulang ke tanah air,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Wilayah Zon Tengah Andalusia, Siti Syadratul A’lya Samsudin berkata, sambutan terhadap pakej umrah Andalusia sentiasa menggalakkan, malah kempen kali ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada peningkatan jualan suku terakhir tahun ini.

“Kami yakin Kempen October Deals 2025 mampu melonjakkan jualan baki 15,000 tempat duduk penerbangan sehingga April 2026.

“Tawaran diskaun khas antara RM100 hingga RM200 seorang bagi semua pakej umrah termasuk Umrah Jimat, Umrah Sederhana Ramadan dan Umrah Jarak Dekat Musim Ramadan menjadi tarikan utama pelanggan,” katanya yang ditemui media di ⁠GoTravel Expo, Mid Valley Megamall di sini, hari ini.

Menurutnya, Andalusia menerima sambutan begitu menggalakkan daripada pelanggan apabila Kempen October Deals 2025 ditawarkan bermula semalam.

Katanya, selain pakej umrah, Andalusia turut memperluas promosi kepada pakej pelancongan luar negara seperti Eropah, Turki, Jepun, Korea dan Muslim Tour serata dunia dengan potongan harga sehingga RM200 seorang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top