Kuala Lumpur : Sejak meraih gelaran juara Rising Star Indonesia 2017 populariti bintang berbakat, Andmesh Kamaleng kian melonjak dengan pelbagai anugerah dan pencapaian dikecapi dalam karier seni.
Penyanyi asal Indonesia ini dijadualkan kembali menghangatkan pentas Mega Star Arena, Kuala Lumpur sempena acara Andmesh Love Story: Suara Dari Ketulusan Hati pada 14 Februari depan.
Konsert yang bakal disajikan dengan penuh jiwa dan emosi anjuran DTC Entertainment Sdn Bhd, dan dijangka menjadi antara persembahan paling berprestij bagi tahun hadapan.
Mengulas mengenai penganjuran konsert kali ini, Andmesh berkongsi perasaan teruja untuk kembali menyapa peminat di Malaysia.
“Malaysia selalu punya tempat istimewa di hati saya. Energi dari penonton di sini selalu luar biasa.
“Konsert Suara Dari Ketulusan Hati ini sangat personal kerana ia membawa perjalanan muzik saya sejak awal hingga sekarang. Saya ingin peminat merasai setiap cerita di balik lagu-lagu saya,” katanya.
Pada masa sama, Andmesh turut menjanjikan susunan muzik yang lebih segar serta kejutan istimewa yang hanya akan dipersembahkan di Malaysia.
Tiket menyaksikan konsert Andmesh boleh dibeli di laman web tiket2u.
Terdahulu, lagu-lagu Andmesh terus menjadi sebutan dan perhatian ramai peminat muzik di rantau Asia.
Antara lagu hits yang memberi impak seterusnya mengukuhkan nama Andmesh adalah Cinta Luar Biasa apabila mencatat pencapaian positif melebihi ratusan juta tontonan di YouTube dan menjadi salah satu lagu cinta paling ikonik.
Selain lagu Hanya Rindu iaitu karya penuh emosi yang menerima anugerah dalam kategori Best Pop Solo Performance di Indonesia.
Begitu juga lagu Kumau Dia, single yang menampilkan kekuatan vokal sekali gus menjadi siulan ramai.
Tidak terkecuali, lagu Anugerah Terindah, Nyaman dan Jangan Rubah Takdirku antara lagu yang terus membuktikan bakat besar seni suara hebat Andmesh.
Andmesh bukan nama asing dalam dunia hiburan Malaysia. Setiap kali membuat persembahan di sini, tiket sering habis terjual dan peminat tidak pernah gagal mengisi ruang konsert dengan sorakan dan nyanyian bersama.
Konsert solonya yang terdahulu di Kuala Lumpur mendapat sambutan luar biasa, dengan ramai peminat memuji kualiti vokal penyanyi itu.
Peminat Malaysia juga terkenal sebagai antara komuniti yang paling aktif menyokong muzik Andmesh hingga menjadikan Malaysia sebagai destinasi penting dalam perjalanan seninya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




