Andrag tabik semangat juang tinggi pemain

Andrag tabik semangat juang tinggi pemain

sukan@hmetro.com.my

Alor Setar: Ketua jurulatih interim Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag sekurang-kurangnya boleh menarik nafas lega apabila anak buahnya bangkit untuk mengikat Perak FC 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), petang semalam.

Gol penyamaan di hujung babak kedua oleh Amirul Hisyam Awang Kecik dianggap cukup bermakna dan berharga yang membolehkan ‘Sang Kenari’ membawa pulang satu mata ke Kedah.

Terdahulu pada aksi itu, Perak FC lebih awal membolosi gawang Kedah dengan gol sepakan penalti yang dihasilkan oleh Clayton Da Silva pada minit ke-71 selepas pengadil mengesan kekasaran yang dilakukan Loqman Hakim melalui Video Bantuan Pengadil (VAR).

Menurut Andrag, pemainnya sudah berusaha pada tahap yang terbaik dengan semangat yang ada pada mereka serta tidak putus asa dalam meneruskan perjuangan hingga ke hujung perlawanan.

“Mereka menunjukkan aksi tidak menyerah kalah hingga ke hujung tempoh perlawanan dan saya bersyukur mereka dapat bangkit menyamakan kedudukan di hujung perlawanan.

“Jadi apa lagi yang saya nak minta daripada mereka? Mereka hadir dengan membuktikan persembahan terbaik mereka, dan kita tahu apabila beraksi di laman lawan ianya cukup mencabar tambahan menentang pasukan yang kuat seperti Perak FC.

“Sepanjang tempoh perlawanan, mereka menunjukkan aksi yang patut dipuji dan mereka juga mampu menepis segala isu di luar padang dan secara profesional mereka dapat fokus untuk memburu mata buat Kedah,” katanya.

Andrag pada masa yang sama dilihat memberi peluang kepada beberapa muka baharu dari kalangan pemain bawah 23 (B-23) dan bawah 20 (B-20) tahun Kedah seperti Aiman Afif, Norfahmi Muhamad Zaki, Danial Tarmizi, Akmal Hakim Rosli dan Kadim As Syahid.

Kedah yang kini menghuni tangga ke-11 Liga Super dengan mengumpul 14 mata seterusnya akan beraksi pada saingan suku akhir pertama Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bertemu KL Rovers di Stadium Darul Aman, 13 Disember ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top