Pempengaruh dan usahawan muda, Anes Ayunie mengejutkan ramai pihak apabila secara terbuka membeli koleksi barangan kemas dengan jumlah berat keseluruhan 15 kilogram (kg).
Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang pelbagai reaksi, termasuk kecaman daripada warganet yang menganggap pembelian tersebut dilakukan semata-mata untuk menunjukkan kemewahan.
Menerusi video yang tular, Anes Ayunie atau nama penuhnya Anes Ayunie Osman, 23, menjelaskan dia mahu membeli emas dalam kuantiti yang besar kerana bimbang harga emas akan terus meningkat pada masa hadapan.
“Saya nak emas dalam 15 kg. Sebab saya ini takut harga emas naik lepas hari ni. Jadi nak ‘lock’ terus 15 kg,” katanya.
Difahamkan, pada mulanya Anes Ayunie merancang untuk melakukan pembelian tersebut secara tertutup.
Namun, pada hari kejadian, hanya 6kg emas dapat diperoleh, manakala selebihnya akan diserahkan kepadanya pada keesokan harinya.
Jumlah bayaran bagi pembelian 6 kg emas itu dianggarkan sekitar RM2.5 juta. Selain itu, Anes Ayunie turut dilihat teruja memilih beberapa barangan kemas lain semasa sesi pembelian berlangsung.
Di ruangan komen, rata-rata netizen mengecam tindakan pempengaruh itu yang didakwa menunjuk-nunjuk.