Liverpool: Dua gergasi Liga Perdana Inggeris yang mendominasi kejuaraan sejak sedekad lalu bakal berentap hujung minggu ini, namun sejarah dan statistik jelas memihak kepada Liverpool apabila Manchester City sekali lagi diuji di Anfield.
Sejak Chelsea menjulang trofi musim 2016-2017, hanya Liverpool dan City bergilir muncul juara liga, dengan City mengumpul enam kejuaraan manakala Liverpool dua, sekali gus menegaskan dominasi mutlak kedua-dua pasukan itu.
Namun di sebalik kehebatan City, Anfield kekal menjadi gelanggang paling sukar untuk pasukan kendalian Pep Guardiola, yang hanya pernah mencatat satu kemenangan di bumi Merseyside sejak beliau mengambil alih pasukan.
Kemenangan tunggal itu hadir pada Februari 2021 apabila City menang 4-1 ketika perlawanan berlangsung tanpa penyokong susulan sekatan pandemik, situasi yang jelas berbeza dengan suasana ‘bernyawa’ Anfield ketika ini.
Secara keseluruhan, City hanya menang sekali dalam 22 kunjungan terakhir ke Anfield, tewas 14 kali dan seri tujuh kali, dengan kemenangan sebelum era Guardiola pula dicatat pada Mei 2003 menerusi dua gol Nicolas Anelka.
Anfield juga kekal sebagai venue ‘kering’ buat penyerang prolifik City, Erling Haaland, yang masih gagal menjaringkan gol selepas tiga penampilan di stadium berkenaan, satu daripada hanya dua gelanggang Liga Perdana Inggeris yang belum ditaklukinya.
Situasi itu lebih mencuri tumpuan apabila Haaland hanya menghasilkan satu gol daripada permainan terbuka dalam 12 perlawanan terakhir, meskipun pernah meledak jaringan ketika City membelasah Liverpool 3-0 pada November lalu.
Jika City berjaya menundukkan Liverpool kali ini, ia bakal menjadi ‘double’ pertama mereka ke atas Reds dalam saingan liga sejak musim 1936-37, sekali gus menamatkan penantian selama 89 tahun, namun persoalannya kekal sama– adakah Anfield masih berhantu buat City.
© New Straits Times Press (M) Bhd




