harisfadli@hmetro.com.my
Puchong: “Angah rasa dah tak lama dah.”
Itu antara kata-kata terakhir kembar siam, Allahyarham Muhammad Rosli, 28, yang meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras di sini, hari ini.
Bapanya, Rosli Abdul Rahim, 55, berkata, anak kedua daripada enam beradik itu sangat rapat dengannya sehinggakan tiada rahsia antara mereka kerana sering berkongsi segalanya.
Menurutnya, kehilangan Muhammad bakal dirasai mereka seisi keluarga namun dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya Allahyarham tidak lagi perlu menanggung derita menahan kesakitan dialaminya sejak tahun lalu.
”Syukur semua urusan hari ini dipermudahkan. Kami reda dengan pemergian arwah kerana dia pun sudah menanggung sakit sejak tahun lalu dan semakin kritikal beberapa bulan lepas.
”Dia paling rapat dengan saya, apa-apa pun nak ayah, nak tukar beg stoma, nak buang air kencing, nak lap badan ayah juga,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.
Sementara itu, rakan sekelas Allahyarham, Muhammad Akmal Murhalim, 30, menyifatkan Muhammad sebagai seorang berjiwa kental yang tidak pernah berasa lemah walaupun dia orang kurang upaya (OKU).
”Dia sentiasa ceria dan kelakar. Kalau kita ajak keluar ke mana-mana sahaja dia memang suka ikut walaupun dia berkerusi roda kawan-kawan akan bawa dia.
”Kita campak kerusi roda dalam kereta dan bawa dia lepak atau berjalan ke mana sahaja, kadang-kadang kalau lif tempat tinggal kami rosak kita dukung dia.
“Mula-mula dia macam menolak sebab tidak mahu susahkan kawan tetapi kami tidak kisah, kalau perlu dukung kita dukung,” katanya.
Seorang lagi rakan, Akmal Affiq Muhammad Haniff, 31, pula berasa sedikit terkilan kerana tidak sempat menziarahi Allahyarham sebelum dia meninggal dunia pagi tadi.
”Beberapa hari lepas nampak dia kemas kini status ditahan di wad hospital dan saya ada hantar mesej serta bercadang melawatnya hari ini.
”Tetapi pagi tadi dapat berita dia sudah pergi, memang ada rasa terkilan sikit, sebab kali terakhir kami bertemu dalam tahun lepas selepas dia balik dari Arab Saudi (menerima rawatan),” katanya.
Terdahulu, jenazah disolatkan di Masjid Nurul Iman Kampung Tengah sebelum dibawa ke tanah perkuburan diiringi ramai rakan, kenalan, dan sanak-saudara termasuk penduduk setempat.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini kira-kira 6 petang.
Harian Metro melaporkan, Muhammad disahkan meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras di sini, jam 10.45 pagi hari ini.
Muhammad dan Ahmad pernah menggemparkan negara apabila menjalani pembedahan pembahagian hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 2001.
Pada September 2002, mereka berjaya dipisahkan menerusi pembedahan selama 22 jam 45 minit di Hospital King Fahd National Guard, Arab Saudi.
Pada Julai 2025, Muhammad menjalani rawatan di Hospital King Fahd National Guard, Riyadh, Arab Saudi selepas disahkan menghidap kanser pundi kencing.
Sepanjang lapan bulan berada di negara itu, Muhammad menjalani lima pembedahan dan lima sesi kemoterapi sebelum disahkan pulih serta menjalani rawatan susulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
