am@hmetro.com.my
NAMA penyanyi Indonesia, Allan Andersn, 33, mula meniti di bibir peminat selepas lagu Rindu dendangannya tular di media sosial.
Allan berkata, lagu Rindu juga cukup bermakna kerana banyak mengubah pelbagai perkara dalam kehidupannya ketika ini.
“Sebenarnya, saya sangat menyukai lagu Rindu dendangan penyanyi terkenal Agnes Monica itu.
“Saya juga melihat lagu itu sebagai ‘berkat’ kerana ia datang pada waktu yang tepat kerana ramai yang mula kenal dengan nama saya melalui lagu Rindu,” katanya.
Allan ditemui pada sidang media, An Evening With Allan Andersn In Kuala Lumpur di Liberal Latte, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kata penyanyi kelahiran Tahuna, Sulawesi Utara ini, populariti lagu Rindu juga menjadi pendorong buatnya untuk memperkenalkan bakat dan karya baru dihasilkan kepada peminat.
“Saya juga menyanyikan lagu Rindu dengan susunan muzik yang lebih mencerminkan diri sekarang,” katanya yang baru melancarkan single terbarunya berjudul Ku Mau Bahagia Juga.
Ditanya mengenai penyanyi Malaysia, Allan berkata, dia pernah mendapat inspirasi daripada ciapan Allahyarham Adibah Noor di aplikasi X yang memberi kata-kata semangat buatnya untuk terus berkarya ketika menyertai program The Voice Indonesia pada 2016.
Bekas peserta program realiti X Factor Indonesia musim ketiga itu berkata, Adibah juga memintanya untuk mengutamakan penghayatan dalam setiap nyanyian.
“Penghayatan bukanlah teknik yang boleh dipelajari dengan mudah sebaliknya ia perlu wujud secara semula jadi.
“Apabila saya baca ciapan arwah, saya sedar penghayatan sangat penting dalam nyanyian dan saya turut berterima kasih kepadanya,” katanya.
Allan berkata, cara dirinya menyanyi juga memang berbeza daripada penyanyi lain.
“Bagi saya, menyanyi dari hati itu tidak sepatutnya dilatih kerana akan kedengaran seperti dibuat-buat. Ia perlu datang secara semula jadi ketika menyanyi,”katanya.
Sementara itu, persembahan An Evening With Allan Andersn In Kuala Lumpur di Liberal Latte, Kuala Lumpur baru-baru ini juga berjaya menarik peminatnya di sini.
Meskipun, sudah banyak kali mengadakan persembahan di Indonesia, Allan akui tetap gementar menghiburkan peminat buat julung kalinya di sini.
“Pada mulanya, saya berasa risau dengan penerimaan peminat di sini kerana saya tahu penyanyi di Malaysia sangat berbakat dan pasti akan ada yang cuba membandingkan cara nyanyian saya dengan penyanyi tempatan.
“Namun, saya berasa terkejut dengan sambutan dan penerimaan yang baik dari peminat di sini terhadap persembahan saya malam ini,” katanya yang menyanyi sambil bercerita setiap karya disampaikan pada peminat.
Pada malam itu, Allan menyampaikan rangkaian lagu seperti Rindu, Jalan Terbaiknya, Dibalas Dengan Dusta, Jalan Yang Berbeda, Akhir Cerita Cinta, Sialan, Dia/ bossa Nova, Dimiliki Jua, Ku Mau Bahagia Juga, Waktu dan Perhatian, Die With A Smile, Bukan Orangnya dan Berharap Tak Berpisah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




