London: Arne Slot menegaskan bahawa Liverpool perlu menganggap setiap perlawanan sebagai final, bermula dengan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Southampton di Anfield esok.
Liverpool kini berada dalam kedudukan terbaik untuk meraih kejuaraan EPL selain kelebihan 1-0 ke atas Paris Saint Germain (PSG) di Liga Juara-Juara dan juga bakal berdepan Newcastle dalam final Piala Liga minggu depan.
Namun, Slot menekankan bahawa tumpuan penuh perlu diberikan pada perlawanan menentang Southampton, walaupun pasukannya turun sebagai pilihan utama untuk memperkukuhkan kedudukan di puncak liga.
Pengendali dari Belanda itu turut menyeru penyokong Liverpool untuk memberi sokongan penuh dengan hadir lebih awal dan mencipta suasana yang bertenaga bagi memberikan motivasi tambahan kepada pemain.
Slot juga mengakui bahawa pasukannya beruntung dapat pulang dengan kemenangan dari Paris, selepas pasukan tuan rumah mendominasi permainan, namun memuji kerja keras pemain yang memberi mereka peluang meraih kemenangan.
Beliau menegaskan bahawa untuk meraih kejayaan, kadang-kadang pasukan perlu melalui perlawanan yang sukar walaupun tidak bermain dengan baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd