syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pemain bass kumpulan XPDC Kita Pengyu (KPY), Zuar menegaskan bahawa isu ahli kumpulan bergerak solo boleh menjadi punca utama sesebuah kumpulan muzik berpecah.
Menurutnya, perkara itu umpama membuka ruang untuk sesuatu kumpulan berpecah.
“Saya nak cakap pada satu Malaysia, contoh macam lagu Satu Arah. Kita buat sendiri, susunan muzik pun kita sendiri. Kita tak mahu campur orang luar.
“Biar tangan pemuzik itu sendiri yang tentukan bunyi mereka. Itu baru betul sebuah band,” katanya kepada Harian Metro.
Bagi Zuar atau pemilik nama Azuar Md Tasi, dia memegang prinsip ‘susah senang bersama’ dan akan sentiasa membimbing ahli kumpulan agar tidak mengutamakan kepentingan peribadi.
“Pengalaman itu sudah ada. Saya bimbing mereka. Kita cari makan sama-sama, jangan menindas kawan lain. Kita berjuang sama-sama, sama-sama dapat duit.
“Kecuali kalau kes terdesak atau kecemasan, contohnya sudah ambil deposit tapi tiba-tiba ada yang sakit pada malam persembahan. Itu kes khas, kita akan buat mesyuarat darurat,” katanya.
Tambah Zuar lagi, disiplin dan kecergasan setiap ahli adalah keutamaan bagi memastikan perjuangan muzik XPDC tidak terhenti separuh jalan.
Sementara itu, wakil pengurusan XPDC, Yazid Selamat turut mengesahkan bahawa setakat ini pergerakan solo untuk ahli kumpulan adalah tidak dibenarkan bagi mengelakkan sebarang konflik.
XPDC KPY membariskan anggota asal iaitu Zuar, Amy (pemain dram) manakala anggota baru Jeff (pemain gitar) dan Ary menggantikan tempat Mael sebagai vokalis.
XPDC KPY ditemui di sidang media bersama XPDC KPY yang berlangsung di Konti Bapakku FM, semalam.
Kumpulan itu dijadualkan mengadakan Majlis Makan Malam dan Showcase Santai di venue sama pada 14 Februari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




