Anggota bomba ditembak mati, seorang lagi cedera

Anggota bomba ditembak mati, seorang lagi cedera

LOS ANGELES: Pihak berkuasa berkata, seorang anggota bomba terbunuh dan seorang lagi cedera selepas rakan sekerja mereka melepaskan tembakan di sebuah balai bomba di wilayah utara Los Angeles.

Ketua Bomba Daerah Los Angeles, Daryl Osby, dalam satu sidang media berkata, mangsa adalah seorang jurutera berusia 44 tahun yang berkhidmat dengan Jabatan Bomba Los Angeles County selama lebih 20 tahun.

Sementara itu, yang cedera adalah kapten bomba berusia 54 tahun, yang kemudian dibawa dengan helikopter ke hospital berdekatan dan masih dalam keadaan kritikal tetapi stabil.

Penembak disahkan sebagai anggota bomba yang tidak bertugas, tetapi pergi ke balai untuk bersemuka dengan rakannya.

Dia kemudian melarikan diri dan pulang ke kediamannya yang hanya beberapa kilometer dan mengurung diri di rumah.

“Rumah itu dibakar, dan dia juga ditemui mati,” kata Osby kepada wartawan.

Beberapa saluran berita tempatan melaporkan bahawa penembak itu membakar rumahnya dan menembak dirinya sendiri di laman belakang.

Sumber memberitahu The Los Angeles Times bahawa terdapat perselisihan antara si mati dan penembak, yang bekerja secara giliran tetapi tinggal di kawasan yang sama.

Pertengkaran bagaimanapun memuncak pagi semalam dan lelaki bersenjata itu menembak mati rakan setugasnya.

Menurut akhbar itu, kapten mengalami kecederaan ketika cuba menghalang penembak.

Pegawai berkata, kejadian itu masih dalam siasatan. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top