Anggota bomba kena kuat depani cabaran

Anggota bomba kena kuat depani cabaran

PUTRAJAYA – Tidak ada apa yang dapat diungkapkan oleh seorang anak bagi mengenang pengorbanan bapa yang tegas dalam menjalankan tanggungjawab memimpin keluarga.

Di atas ketegasan itulah Abdul Hariz Abdul Aziz sering ingat kepada Allahyarham bapanya, Abd Aziz Usoff yang merupakan pegawai bomba yang terlibat dalam membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Disember lalu.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Abdul Hariz berkata, kehilangan arwah bapanya amat dirasai kerana lelaki yang dipanggil ayah merupakan seorang yang sangat baik dan menyayangi keluarga.

Katanya, arwah bapanya juga merupakan individu yang tegas dalam mendidik anak-anak serta komited dalam melakukan apa sahaja perkara.

“Kehilangan ayah amat kami rasai namun, apakan daya tuhan lebih menyayanginya.

“Arwah ayah merupakan seorang yang sangat komited dalam melakukan segala kerja dan dia amat memberikan fokus kepada keluarga terutamanya dalam aspek pendidikan anak-anak,” katanya yang merupakan pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Sains Bahan dan Teknologi Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Abdul Hariz memberitahu, seluruh anggota keluarga terkejut dengan pemergian ayahnya itu kerana setahu mereka Allahyarham tidak pernah menghidap sebarang penyakit sebelum ini.

Katanya, kehilangan Allahyarham telah memberi impak besar kepada keluarga dan kebergantungan mereka empat beradik ketika ini adalah kepada ibu mereka yang merupakan seorang pendidik.

Terdahulu, Abdul Hariz yang merupakan anak kedua daripada empat adik beradik menerima sijil penghargaan untuk Allahyarham bapanya yang dikurniakan Anugerah Pingat Setia Bomba dan Sijil Penganugerahan pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 Menteri Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan dan Meraikan Bomba, di sini, hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dan turut disaksikan Ketua Pengarah, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Dalam pada itu, Abdul Hariz turut memberikan kata-kata semangat kepada anggota bomba dan penyelamat yang digelar “Wira Merah” agar mereka terus kuat dalam perjuangan masing-masing.

Katanya, anggota bomba kena sentiasa kuat dalam mendepani cabaran sebagaimana yang ditunjukkan oleh ayahnya.

Untuk rekod Allahyarham Abd Aziz merupakan antara pegawai yang menjadi ‘frontliner’ (petugas barisan hadapan) ketika operasi SAR mangsa tanah runtuh di Batang Kali.

Allahyarham juga antara yang terawal tiba di lokasi kejadian untuk membantu operasi itu walaupun tragedi terbabit bukan berlaku di kawasan jagaan beliau.

Beliau sudah berkhidmat dalam pasukan JBPM selama 15 tahun dan merupakan pegawai sangat berdedikasi, bertanggungjawab serta komited terhadap tugas, terutama ketika melakukan operasi kebombaan. – MalaysiaGazette