am@hmetro.com.my
Bachok: Pegawai bomba Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikhuatiri lemas bersama adiknya dalam tragedi perkelahan keluarga di Pantai Kandis, muara Sungai Gali, di sini petang tadi.
Dalam kejadian 5.30 itu, mangsa Ahmad Badrul Naim Abdul Wahab, 32, dan adiknya, Ahmad Nurruddin Abdul Wahab, 21, dipercayai ke pantai berkenaan untuk berkelah bersama 20 ahli keluarga lain dari Pasir Puteh.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, ketika kejadian, beberapa ahli keluarga dipercayai mandi-manda sebelum dua daripadanya iaitu Ahmad Nurruddin dan anak saudaranya, Mohd Ali Al Imran, 12, dipercayai hampir lemas.
Katanya, Ahmad Badrul Naim yang bertugas di Bayan Baru, Pulau Pinang dan abang iparnya, Mohd Ezad Abu Hassan, 49, yang juga bapa Mohd Ali kemudian bergegas menyelamatkan kedua mereka.
“Ayah kanak-kanak itu berjaya menyelamatkan anaknya, namun satu lagi mangsa berusia 21 tahun yang baru tamat pengajian tinggi dalam keadaan lemas menyebabkan abangnya (pegawai bomba) cuba menyelamatkan dia.
“Bagaimanapun kedua-dua mereka hilang dan disyaki sudah lemas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Beliau berkata, pencarian mangsa turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Mohd Khairul Fais Ariffin berkata, pihaknya melaksanakan pencarian di permukaan air berdasarkan lokasi terakhir kedua mangsa dilihat.
Katanya, operasi kali ini lebih mencabar kerana membabitkan anggota bomba sendiri.
“Perasaan sebak sebaik ayah kedua mangsa (Abdul Wahab) terus memeluk kami sebaik bomba tiba,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




