Anggota bomba sukarela cedera, patah kaki kawal kebakaran tiga premis

Anggota bomba sukarela cedera, patah kaki kawal kebakaran tiga premis

am@hmetro.com.my

Georgetown: Seorang anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) cedera, manakala seorang lagi patah kaki ketika operasi pemadaman api dalam kebakaran tiga premis di Jalan Patani, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, dua anggota PBS berkenaan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Endi Sherimi Azmi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.07 petang.

Katanya, operasi pemadaman dilakukan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan beberapa Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang keseluruhannya membabitkan seramai 25 anggota.

“Kebakaran membabitkan tiga premis iaitu kilang cecair pelarut (thinner), logam, dan pengelola perkahwinan.

“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 65 minit bagi mengawal api daripada terus merebak. Kebakaran membabitkan 80 peratus kemusnahan dan tidak membabitkan mangsa.

“Anggota PBS yang cedera adalah daripada pasukan Sungai Puyu dan Kampung Pisang,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top