Anggota MALBATT di Lubnan selamat walau ketegangan meningkat

Anggota MALBATT di Lubnan selamat walau ketegangan meningkat

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kesemua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang sedang melaksanakan misi pengaman di selatan Lubnan dilaporkan berada dalam keadaan selamat walaupun berlaku peningkatan aktiviti ketenteraan di kawasan berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, situasi keselamatan di kawasan tanggungjawab Pasukan Interim United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) serta MALBATT 850-13 menunjukkan peningkatan aktiviti ketenteraan antara Israel Defense Forces (IDF) dan Hezbollah.

Menurutnya, tentera Israel dilaporkan memasuki beberapa kawasan di Lubnan, manakala beberapa serangan turut direkodkan berhampiran sektor tanggungjawab MALBATT.

“Sehubungan itu, langkah perlindungan pasukan atau ‘force protection’ telah dipertingkat selaras dengan tahap waspada semasa.

“Pada masa ini, tiada keperluan untuk melaksanakan evakuasi kerana keadaan masih terkawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, MALBATT 850-13 kekal pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan bersedia mengaktifkan pelan kontigensi termasuk pemindahan kecemasan sekiranya diperlukan.

Katanya, Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama terus memantau perkembangan situasi secara rapat dengan kerjasama UNIFIL serta agensi berkaitan.

“Keselamatan setiap anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top