am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang menyertai misi Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) berada dalam keadaan selamat.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, meskipun maklumat diterima menunjukkan berlaku serangan Israel di kawasan tanggungjawab pasukan sejak semalam, namun tiada yang terjejas.
“Kita mengambil langkah berjaga, lebih-lebih lagi sekiranya kita dapat maklumat akan berlaku serangan.
“Rondaan tidak dibenarkan, pasukan diarahkan untuk sentiasa berada dalam bunker (kubu bawah tanah).
“Serangan yang baharu saja dilalui pada hari ini, kita bersyukur walaupun ia tidak jauh daripada kawasan tanggungjawab MALBATT namun semuanya selamat, tidak mengalami kecederaan kerana kita memberi amaran awal,” katanya.
Beliau ditemui pada Program Majlis Berbuka Puasa, Penyerahan Bubur dan Sumbangan Kotak Rezeki Bersama Komuniti Permas, Johor anjuran BHPetrol di Masjid Bandar Permas Jaya hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Baharudin Mohamed Taib dan Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Ir Azizul Azily Ahmad.
Mohamed Khaled berkata, terdapat 532 anggota MALBATT bertugas di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan akur arahan ditetapkan.
“Saya sepatutnya berbuka puasa dengan mereka pada minggu lalu, namun pada hari yang saya sepatutnya pergi merupakan hari kedua terdapat serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran dan seterusnya serang Lubnan,” katanya.
Menurutnya, kementerian sentiasa memantau keadaan anggota pasukan itu, khususnya ketika konflik masih berterusan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




