Anggota MPV terima jaket keselamatan baru

Johor Bahru: Anggota Unit Kereta Peronda (MPV) polis seluruh negara kini mempunyai jaket keselamatan baru dengan ciri pelindungan lebih baik untuk keselamatan ketika bertugas.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, jaket ‘rerlective bullet proof vest level II with anti stab’ itu dikatakan mampu beri pelindungan tikaman peralatan tajam seperti pisau.
Menurutnya, jaket itu juga mampu memberi pelindungan balistik terhadap tembakan peluru Caliber 9 MM, berbanding jaket digunakan sebelum ini, ia hanya berfungsi sebagai pemantul cahaya.
“Seluruh IPK kita akan berikan jaket ini, namun keutamaan kepada IPK yang merekodkan kadar jenayah yang tinggi. Contohnya di Johor, kita beri 100 jaket ini kerana kontinjennya besar mempunyai 13 daerah polis dan berisiko tinggi seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.
“Dengan ciri- ciri tambahan keselamatan ini saya yakin ia dapat memberikan keyakinan kepada petugas MPV polis dan meningkatkan semangat dalam menjalankan tugas dengan lebih sempurna,” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Rerlective Bullet Proof Vest Level II With Anti Stab dan Baju Amanita di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Polis di sini hari ini.
Zainal Abidin berkata, kerajaan menerusi Belanjawan 2018 telah meluluskan perolehan pembelian pakaian itu dan buat permulaan, 800 jaket telah diagihkan kepada IPK terlibat bermula tahun ini.
“Namun kita memerlukan 6,000 jaket lagi memenuhi keperluan 3,000 anggota MPV. Namun kita berharap kerajaan dapat memberikan perolehan lagi untuk membelinya secara berperingkat untuk tahun akan datang,” katanya.

 

ZA137 Malay News

National Desk

Scroll to Top