harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyertai misi pengaman di Lubnan, wajar dikeluarkan dari negara bergolak itu sekiranya keselamatan mereka terjejas susulan serangan darat oleh Israel, semalam.
Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, setiap keputusan harus mengambil kira faktor keselamatan serantau, namun keselamatan pasukan pengaman negara perlu diutamakan.
“Berdasarkan sejarah, kita adalah pasukan pengaman yang memberi bantuan kepada mana-mana negara dan tidak pernah terbabit dengan sebarang perang secara terus.
“Polisi itu harus dikekalkan, kita harus pastikan pembabitan pasukan pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijamin keselamatannya di bawah PBB.
“Sekiranya ada perkara yang menjejaskan keselamatan pasukan pengaman negara, PBB harus bertanggungjawab dan sewajarnya kita menarik keluar tentera kita (di Lubnan),” katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, tugas ATM sebagai sebahagian daripada Batalion Malaysia (Malbatt) yang diatur gerak dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) adalah berasaskan semangat setia kawan dan berpasukan.
Katanya, sebagai pasukan pengaman, ATM memainkan peranan dalam membantu PBB menjaga keharmonian dan kestabilan global, namun keselamatan angkatan negara harus didahulukan.
“Kita mempunyai tanggung jawab menjaga keamanan serantau tanpa membabitkan penyertaan secara langsung dalam konflik, namun keutamaan harus diberikan kepada keselamatan tentera kita.
“Sekiranya dilihat risiko-risiko ketenteraan dan keselamatan terlalu banyak, kita boleh pertimbangkan untuk menarik diri berdasarkan polisi serta dasar yang dipersetujui bersama,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Israel secara rasmi melancarkan serangan darat ke atas Lubnan semalam.
Pada kenyataan di laman X, rejim Zionis itu mendakwa, serangan dilakukan adalah terhad, setempat dan disasarkan terhadap kumpulan Hizbullah.
© New Straits Times Press (M) Bhd



