Anggota polis cedera cuba leraikan pergaduhan di hospital

Anggota polis cedera cuba leraikan pergaduhan di hospital

hafidzul@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Anggota polis cedera di bahagian muka ketika cuba meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan individu di Hospital Sungai Buloh di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.10 pagi berhubung pergaduhan di wad kecemasan Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian namun anggota polis yang bertugas di pondok polis hospital berkenaan sudah bergerak awal untuk mengawal keadaan sebelum ketibaan pasukan peronda.

“Sebaik pasukan peronda polis tiba di dapati anggota berkenaan dipukul oleh seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an.

“Berdasarkan maklumat awal anggota polis berkenaan cuba meleraikan pergaduhan antara sekumpulan lelaki dan wanita bagaimanapun suspek lelaki tempatan itu bertindak agresif dan menyerang anggota polis berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan di muka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Hafiz berkata, cubaan polis untuk menahan suspek juga dihalang dan diganggu sehingga berlaku sedikit pergelutan.

Katanya, suspek bagaimanapun berjaya ditahan dengan bantuan orang ramai di lokasi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.

“Suspek direman selama empat hari sehingga Selasa ini (9 September) dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top