Anggota polis cedera ditetak lelaki dipercayai kurang siuman

Anggota polis cedera ditetak lelaki dipercayai kurang siuman

am@hmetro.com.my

Kuantan: Seorang anggota polis cedera ditetak lelaki dipercayai tidak siuman di sebuah rumah di Felda Bukit Kuantan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5:30 petang, mangsa Koperal Mohd Shafril Izzwan Ismail, 37, cedera di belakang badan, dagu dan jari tangan kiri akibat ditetak dengan parang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian berlaku sejurus tiga anggota Balai Polis Panching, tiba di lokasi kejadian selepas mendapat laporan seorang lelaki bersenjatakan parang mengamuk di sebuah rumah.

Menurutnya, sebaik tiba, mereka cuba mententeramkan lelaki berkenaan.

“Bagaimanapun suspek bertindak agresif menyerang dan menetak mangsa dengan parang.

“Susulan kejadian itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan dikerah ke lokasi dan menahan suspek.

“Mohd Shafril Izzwan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk rawatan.” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Yahaya berkata, susulan penahanan lelaki berusia 37 tahun itu polis turut merampas parah dan dua senjata tajam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tiada sebarang pekerjaan.

“Lelaki terbabit turut dirujuk ke Wad Psikiatri, HTAA untuk pemeriksaan kesihatan mental.” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324, Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top