Anggota polis cedera, motosikal terbabas dibaling besi suspek curi kabel

Anggota polis cedera, motosikal terbabas dibaling besi suspek curi kabel

am@hmetro.com.my

Seremban: Tidak hanya mencuri kabel, geng penjenayah turut bertindak agresif membaling besi ke arah polis yang cuba memeriksa mereka dekat Taman Marida, Senawang, di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, anggota polis mengalami kecederaan pada kaki dan tangan selepas motosikal ditunggang terbabas akibat dibaling objek berkenaan.

Menurut sumber, ketika kejadian, seorang anggota polis berusia 30-an bersama rakan setugasnya sedang melakukan ronda cegah jenayah di sekitar Senawang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihak mendapati terdapat dua kenderaan iaitu Mitsubishi Triton dan BMW dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika anggota polis menghampiri kenderaan itu, secara tiba-tiba suspek memecut melarikan diri.

“Anggota polis mengejar Mitsubishi Triton dan pada masa sama, dua suspek yang berada di tempat duduk belakang membaling objek disyaki besi,” katanya hari ini.

Menurutnya, akibat serangan itu, anggota polis yang menunggang motosikal dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh dan mengalami kecederaan di tangan dan kaki.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemui satu kabel berukuran kira-kira 50 meter di jalan raya. Ia dibawa balik ke Balai Polis Senawang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi satu minit tular di media sosial memaparkan dua lelaki menaiki Mitsubishi Triton dan sebuah kenderaan lain sedang mencuri kabel.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim ketika dihubungi memaklumkan siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top