am@hmetro.com.my
Mersing: Polis mengesahkan individu yang bertindak mencabut dan mematikan suis sebuah motosikal yang dinaiki dua remaja dalam video tular semalam, adalah seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing Deputi Superintendan Mohd Hasrudi Mohd Zain berkata, kejadian berkenaan berlaku berhampiran lampu isyarat di Sekolah Kebangsaan Bandar Endau, Mersing.
“Anggota polis terbabit cuba membuat pemeriksaan ke atas motosikal dinaiki dua lelaki dipercayai pelajar sekolah kerana motosikal terbabit tidak mempunyai nombor pendaftaran, selain dipercayai diubah suai dan bunyi ekzos bising.
“Anggota polis ketika kejadian sedang bertugas dan menjalankan pemeriksaan berdasarkan kesalahan yang jelas pada kenderaan berkenaan.
“Tindakan diambil mengikut Seksyen 58(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 24(1)(b) Akta Polis 1967,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Sebelum itu, tular video berdurasi 13 saat memaparkan tindakan seorang lelaki menarik kunci motosikal dinaiki dua pelajar sekolah namun tidak berjaya kerana sempat dielak.
Sehubungan itu, Mohd Hasrudi meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd