Anggota polis didakwa ambil 'wang kopi' ditukar ke tugas pentadbiran

Anggota polis didakwa ambil 'wang kopi' ditukar ke tugas pentadbiran

am@hmetro.com.my

Parit: Anggota polis yang didakwa mengambil ‘wang kopi’ daripada seorang lelaki di tepi jalan di Ipoh seperti tular dalam video pada 26 April lalu, kini ditugaskan di bahagian pentadbiran sementara siasatan lanjut dijalankan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan di peringkat Polis Kontinjen Perak sudah selesai sebelum kes itu dirujuk ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, anggota terbabit ditukarkan ke tugas pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sementara menunggu hasil siasatan penuh.

“Kita menunggu arahan selanjutnya kerana terdapat beberapa bukti diperoleh di peringkat kontinjen.

“Siasatan untuk kita tengok dari beberapa sudut terutamanya pelanggaran tatatertib dan prosedur operasi standard (SOP) Unit Kereta Peronda (MPV) khususnya dalam menyelesaikan kesalahan berkaitan trafik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran ‘Module On The Current Trends Of Commercial Crimes’ bersempena kempen Karnival Pintar Siber UTP 2026 di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar, di sini hari ini.

Hadir sama Presiden UTP, Mohamed Firouz Asnan dan Provost UTP, Prof Dr Benjamin Colin Cosh.

Sebelum ini, tular video berdurasi 46 saat memperlihatkan seorang anggota polis dirakam dari jauh sedang menerima wang daripada seorang lelaki yang ditahan dekat kawasan tepi jalan raya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top