Anggota polis hilang ingatan dirempuh 'mat rempit'

Anggota polis hilang ingatan dirempuh 'mat rempit'

am@hmetro.com.my

Seremban: Anggota polis trafik yang parah akibat dirempuh ‘mat rempit’ dekat Lebuhraya Kajang- Seremban (Lekas), di sini, 28 Julai lalu, kini bergelut dengan simptom kehilangan memori akibat kemalangan itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, sehingga kini anggota berkenaan belum dapat memulakan tugas.

“Dalam kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke wad biasa.

“Anggota ini kemudiannya dibenarkan keluar dari wad pada 16 Ogos lalu, namun sehingga ke hari ini masih belum sembuh sepenuhnya dan tidak dapat memulakan tugasnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, keadaan anggota yang mempunyai empat anak berusia empat hingga sebelas tahun itu semakin baik, namun lebih banyak berdiam diri kerana sukar untuk mengingat sesuatu perkara.

“Alhamdulillah, keadaannya semakin pulih, namun kami khuatir kerana dia tidak banyak bercakap sebab tidak dapat ingat.

“Bagaimanapun, kami di pihak JSPT Kontinjen Negeri Sembilan dan di peringkat Ibu Pejabat Daerah (IPD) serta rakan-rakan sering melawatnya untuk memberikan sokongan dan sebarang bantuan. Sama-sama kita doakan yang terbaik untuknya,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan terhadap suspek yang melanggarnya, Muhammad Zaki berkata, remaja itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan masih berjalan dan dia akan dituduh di mahkamah jika siasatan sudah selesai. Difahamkan, ibu bapa remaja juga bakal dikenakan tindakan undang-undang,” ujarnya.

Media ini pada 28 Julai lalu melaporkan anggota polis trafik dan seorang remaja parah apabila kedua-dua motosikal dikatakan bertembung di Kilometer (KM) 36 (S), Lebuhraya Lekas.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban itu sedang bertugas dalam Ops Samseng Jalanan apabila dikatakan dirempuh remaja berkenaan yang melawan arus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top