am@hmetro.com.my
Bagan Serai: Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang dinaiki bergesel dengan lori di Kilometer 94 Jalan Ipoh-Butterworth berhadapan Taman Selinsing Indah, di sini, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata pada jam 6.25 petang, polis menerima laporan dari orang awam yang memaklumkan terdapat kemalangan membabitkan motosikal dan lori.
Menurutnya, Konstabel Muhammad Hakim Daniel Ruhiman, 23 yang bertugas di Balai Polis Bagan Serai yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 dari arah Bagan Serai menghala Taiping dipercayai bergesel dengan lori yang datang dari arah sama.
“Ketika pegawai penyiasat tiba di lokasi mendapati lori berkenaan sudah tiada.
“Berdasarkan keterangan saksi terdapat lori berwarna putih yang bertutup kanvas kelabu berhenti sebentar namun dilihat beredar.
“Saksi memaklumkan tidak mempunyai maklumat lengkap berkenaan lori berkenaan termasuk nombor pendaftarannya,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya lagi, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang dan kaki dibawa ke Hospital Taiping namun meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Bahagian Siasatan Jenayah Balai Semanggol kini sedang mengesan rakaman kamera litar tertutup serta kenderaan lain bagi membantu siasatan.
” Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Hafilah Mohd Ibrahim di talian 019-472 0231.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd