rnoraina@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Seorang anggota polis trafik cedera dirempuh sebuah motosikal ketika melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan rosak di lorong kecemasan di Kilometer 21.2 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah utara, dekat sini, pagi ini.
Anggota unit peronda lebuh raya berpangkat Sarjan berusia 43 tahun itu mengalami kecederaan di muka dan kepala.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 9.15 pagi.
“Anggota terbabit sedang menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan yang mengalami kerosakan di lorong kecemasan lebuh raya berkenaan.
“Sebuah motosikal yang berada di laluan sama dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar anggota trafik terbabit dari arah belakang.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa cedera pada bahagian muka dan kepala manakala penunggang motosikal iaitu lelaki tempatan berusia 37 tahun turut mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd
