am@hmetro.com.my
Kepala Batas: Dua lelaki termasuk seorang anggota tentera maut manakala seorang cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Shah Bandar, Taman Bertam Perdana, di sini, petang tadi.
Difahamkan dalam nahas sekitar jam 6.20 petang itu mengorbankan Tan Kwang Sin, 56, yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dengan membawa seorang penumpang dipercayai isterinya, manakala seorang lagi mangsa, Muhamad Haziq Adnan, 22 yang memandu kereta jenis Proton Iswara dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung insiden terbabit.
“Kemalangan membabitkan Perodua Myvi dinaiki dua individu dan seorang lelaki yang memandu kereta Proton Iswara.
“Ketiga-tiga mangsa tersepit di bahagian hadapan dan dikeluarkan oleh anggota bomba. Pemandu kereta Myvi disahkan meninggal dunia manakala pemandu kereta Iswara meninggal dunia di hospital,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd