am@hmetro.com.my
Temerloh: “Doktor beritahu otak anak saya gagal menerima oksigen dan berlaku kematian tisu otak. Keadaan dia sangat kritikal,” kata Rosafindi Tambi Chik, 49, bapa anggota tentera yang kini dalam keadaan kritikal selepas dipercayai menjadi mangsa pukul di kem tentera Ahad lalu.
Rosafindi yang juga bekas anggota komando selama 26 tahun, berkata dia dimaklumkan oleh pegawai pemerintah bahawa anaknya Muhammad Amirul Raziq, 24, pengsan sebelum dibawa ke Hospital Bentong dalam keadaan kritikal.
Menurutnya, selepas menerima panggilan kira-kira jam 10.41 malam, dia segera bergerak dari rumahnya di Gemas, Negeri Sembilan ke Hospital Bentong pada jam 11 malam.
“Saya sampai lebih kurang jam 2 pagi dan pihak hospital memaklumkan keadaan anak saya tidak mengizinkan kerana jantungnya sudah berhenti.
“Doktor melakukan CPR selama sejam sebelum jantungnya kembali berdenyut,” katanya ketika ditemui di Hospital Temerloh, hari ini.
Rosafindi berkata, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Temerloh kira-kira jam 5 pagi bagi mendapatkan rawatan lanjut kerana memerlukan pemantauan pakar.
Katanya, doktor memaklumkan anaknya mengalami kekurangan oksigen ke otak akibat jantung terhenti terlalu lama sehingga menyebabkan kematian tisu otak.
Beliau berkata, hasil imbasan CT mendapati tiada kecederaan dalaman namun jantung mangsa membengkak dipercayai akibat CPR yang dilakukan dalam tempoh panjang dan sekarang telah ditidurkan.
Rosafindi turut mendakwa anaknya dipukul sebelum kejadian itu, namun tidak dimaklumkan individu yang terbabit.
Katanya, dia difahamkan suspek berpangkat koperal dan sudah ditahan polis sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Bentong untuk permohonan reman.
Rosafindi berkata, sepanjang 26 tahun berkhidmat sebagai anggota komando, latihan ketenteraan tidak pernah mengajar anggota memukul atau mencederakan rakan sendiri.
“Kalau ikut prosedur, latihan hanya menguji mental dan ketahanan. Bukan pukul sepak sampai jadi begini.
“Saya harap keadilan ditegakkan kerana saya menjaga anak saya hampir 24 tahun. Sekarang dia kritikal dan kami sekeluarga amat sedih,” katanya.
Rosafindi berkata, anaknya sudah berkhidmat dalam tentera selama tiga tahun dan tidak pernah mempunyai masalah serius sebelum ini.
Katanya, mangsa juga pernah menyatakan berasa terlalu letih ketika menjalani latihan namun tidak pernah mengadu perkara lebih berat kerana jenis pendiam dan banyak memendam perasaan.
“Saya difahamkan kejadian ini bukan prosedur tentera, tetapi lebih kepada tindakan individu yang mungkin menyalahgunakan pangkat.
“Kalau ikut pandangan saya, ini lebih kepada buli dan dilakukan dengan sengaja,” katanya.
Terdahulu media melaporkan polis mengesahkan menerima laporan seorang anggota tentera cedera parah kerana dipukul dalam kejadian dipercayai berlaku di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), di sini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong jam 8.45 pagi kelmarin.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada 30 Mac kira-kira jam 8 malam dan laporan polis dibuat oleh bapa mangsa berusia 49 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




