Anggota tentera maut akibat dihempap tiang pencawang

Anggota tentera maut akibat dihempap tiang pencawang

mhafis@mediaprima.com.my

Gombak: Seorang anggota tentera maut dalam kemalangan di hadapan Taman Rimba Templer, Rawang selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan akibat dihempap tiang pencawang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner, Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan itu pada 6.51 pagi di Jalan Kuala Lumpur–Ipoh, menghala ke Rawang berhadapan Taman Rimba Templer, Rawang.

Menurutnya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati, kemalangan berlaku 6.30 pagi membabitkan pemandu kereta Perodua Bezza terbabas dan melanggar tiang pencawang yang berada di sebelah kiri jalan.

“Akibat daripada perlanggaran itu kereta mangsa terbalik ke dalam longkang dan dihempap tiang pencawang menyebabkannya cedera parah di bahagian kepala dan badan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Selayang sebelum mayat dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Noor Farah Hanim di talian 019-3311552 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top