Anggota tentera parah dipukul dalam kem, Koperal ditahan

Anggota tentera parah dipukul dalam kem, Koperal ditahan

am@hmetro.com.my

Bentong: Polis mengesahkan menerima laporan seorang anggota tentera cedera parah kerana dipukul dalam kejadian dipercayai berlaku di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), di sini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, laporan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong jam 8.45 pagi semalam.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada 30 Mac kira-kira jam 8 malam dan laporan polis dibuat oleh bapa mangsa berusia 49 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati seorang suspek iaitu anggota tentera berpangkat Koperal dipercayai terbabit dalam kejadian dengan memukul, menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan.

“Siasatan turut mendapati terdapat enam lagi mangsa berusia lingkungan 19 hingga 22 tahun berada bersama dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang daripada mangsa berusia 24 tahun dilaporkan pengsan dan kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Katanya, mangsa dilaporkan masih tidak sedarkan diri serta memerlukan bantuan pernafasan.

“Manakala mangsa lain sudah dirujuk ke Hospital Bentong bagi tujuan pemeriksaan sekiranya terdapat sebarang kecederaan,” katanya.

Zaiham berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan anggota tentera berpangkat Koperal berusia 37 tahun pada jam 2.30 petang semalam, bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan perintah reman terhadap suspek diperoleh selama empat hari bermula hari ini hingga 4 April.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Polis menjalankan siasatan terperinci terhadap kes itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top