Anggota TUDM hilang ditemukan di rumah teman wanita

Anggota TUDM hilang ditemukan di rumah teman wanita

safeek@bh.com.my

Serdang: Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang sejak 24 Ogos lalu ditemui di satu unit kediaman sebuah kondominium di Ampang Jaya, sekitar jam 1.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, Laskar Udara Kanan, Muhammad Ammar Mohd Ariffin, 27, ditemui di dalam sebuah bilik di unit kediaman berkenaan.

“Anggota terbabit yang juga individu yang dilaporkan hilang sebelum ini ditemui bersama teman wanitanya dan unit kediaman itu adalah milik wanita terbabit.

“Dia ditemui oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, yang menjalankan pemeriksaan di lokasi berkenaan berdasarkan maklumat yang diterima,” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata, tiada sebarang unsur jenayah ditemui berhubung kehilangan anggota terbabit selain tiada kesan kecederaan pada tubuh badannya.

Muhamad Farid berkata, pada masa ini pihak polis sedang berusaha mendapatkan butiran lanjut daripada Muhammad Ammar, mengenai kehilangannya sebelum ini.

“Sehubungan penemuan ini, Polis Daerah Serdang, berterima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan maklumat bagi membantu usaha-usaha mengesan keberadaan Muhammad Ammar,” katanya.

Muhammad Ammar dilaporkan hilang selepas menyertai Kursus Penyelia Pengangkutan Kenderaan di Institut Latihan Pengurusan Material (INSMAT) TUDM Bandar Kinrara, dibenarkan pulang bersama peserta lain pada 22 Ogos lalu.

Semua peserta kursus diarahkan melapor diri semula pada 25 Ogos lalu namun dia gagal berbuat demikian sebelum satu laporan polis dibuat oleh pegawai penyelia kursus pada hari sama.

Berdasarkan siasatan polis sebelum ini, Muhammad Ammar yang bertugas di Pangkalan Udara Subang dekat sini, kali terakhir dilihat berada di Sungai Kedondong pada 23 Ogos kira-kira jam 4.30 petang.

Pada 24 Ogos kira-kira jam 6 petang, rakan sebilik kursus cuba menghubunginya namun mendapati telefon bimbitnya dimatikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top