rencana@hmetro.com.my
Dalam dunia kecantikan yang sering dipenuhi trend solekan dramatik dan teknik kontur yang kompleks, muncul satu aliran yang mengetengahkan keanggunan semula jadi.
Ia dikenali sebagai gaya solekan natural atau lebih popular dengan istilah ‘clean girl make up.’
Gaya yang tular di media sosial seperti TikTok dan Instagram ini bukan sekadar soal solekan semata-mata.
Sebaliknya, ia menyerlahkan imej wanita moden yang yakin dengan penampilan diri, mengutamakan pendekatan minimalis serta mahu kekal segar sepanjang hari.
Apa yang lebih menarik, gaya ini bukan eksklusif untuk selebriti kerana sesiapa sahaja boleh mencubanya, cukup dengan beberapa langkah asas yang mudah dan praktikal.
Berbeza dengan solekan ‘full glam’ yang menampilkan mata dramatik dan bibir merah menyala, gaya solekan clean girl lebih kepada penampilan natural seolah-olah tidak mengenakan sebarang solekan, namun wajah tetap kelihatan berseri, kemas dan terurus.
Menurut Penasihat Kecantikan di Pusat Kosmetik Mewah, Cut Intan Syuhada Tunku Mandari, trend ini mula menjadi tular sejak awal tahun lalu dan masih kekal relevan kerana sesuai untuk pelbagai acara, termasuk kegunaan harian.
“Gaya solekan clean girl menampilkan efek berseri dengan penggunaan asas nipis. Kini, kebanyakan wanita tidak lagi cenderung memilih alas bedak tebal atau asas kemasan kusam.
Sebaliknya lebih menggemari kemasan berkilau yang menyerlahkan aura segar dan semula jadi. Bagi saya, solekan ini sesuai digayakan setiap hari,” katanya.
Beliau turut kongsikan beberapa langkah ringkas yang boleh anda amalkan setiap hari untuk mendapatkan gaya solekan clean girl yang menawan secara semula jadi.
Penjagaan kulit adalah asas segalanya
Solekan yang cantik bermula dengan kulit yang sihat dan terjaga. Pastikan rutin penjagaan wajah anda lengkap bermula dengan pencuci muka yang lembut, diikuti toner, serum (seperti vitamin C atau asid hyaluronik), pelembap dan diakhiri dengan pelindung matahari sebagai langkah perlindungan harian.
Kulit yang lembap dan terjaga bukan sahaja memudahkan sapuan solekan, malah membantu solekan tahan lebih lama serta tampak menyatu indah dengan kulit wajah.
Bagi mengekalkan kelembapan sepanjang hari, semburkan ‘penetap’ solekan jenis lembap sebelum dan selepas bersolek sebagai sentuhan akhir yang menyempurnakan penampilan.
Alas solekan yang tipis dan ringan
Elakkan penggunaan alas bedak yang berat dan tebal. Sebaliknya, pilih produk asas dengan litupan ringan seperti krim asas ringan, krim ‘BB’ atau alas bedak kusyen (‘cushion foundation’) yang mampu meratakan tona kulit tanpa membebankan wajah.
Gunakan penyamar noda hanya pada bahagian tertentu seperti bawah mata, parut jerawat atau kawasan kemerahan untuk mengekalkan kemasan semula jadi. Akhiri dengan sapuan bedak lut sinar di zon-T bagi mengawal kilauan berlebihan tanpa menutup tekstur asli kulit.
Tampil segar dengan pemerah pipi dan penyeri wajah
Pilih pemerah pipi dalam bentuk krim dengan rona pic atau merah jambu lembut untuk mencipta efek segar dan semula jadi. Sapukan secara menegak dari bahagian pipi ke arah tulang pipi dan tambahkan sedikit pada hidung bagi memberikan sentuhan manja bak ‘sun-kissed.’Lengkapkan sapuan dengan penyeri wajah (‘highlighter’) berbentuk cair di titik strategik seperti hujung hidung, atas tulang pipi dan lengkungan bibir atas untuk menyerlahkan kilauan semula jadi dan menaikkan seri wajah.
Kening kekal natural
Gaya clean girl makeup tidak memerlukan kening yang dilukis tebal atau dibentuk terlalu tajam. Cukup dengan menyikat bulu kening menggunakan gel kening jernih atau berwarna supaya tampak lebih terurus. Isikan ruang kosong secara ringan dengan pensil kening sepadan, tanpa sapuan yang terlalu pekat. Ingat, penampilan semula jadi adalah kuncinya!
Mata ringkas, menawan
Bagi solekan mata, pilih pembayang mata dalam rona semula jadi seperti warna kulit atau coklat lembut untuk menambah sedikit dimensi tanpa berlebihan. Jika perlu, sapukan pensil mata secara nipis di sepanjang garis bulu mata bagi memberi definisi halus.
Akhiri dengan satu lapisan maskara sudah cukup untuk melentikkan bulu mata dan mencipta efek mata yang segar serta tampak lebih terbuka.
Bibir lembap dan menawan
Untuk solekan bibir, pilih produk yang bersifat melembapkan seperti pelembap bibir berwarna, minyak bibir atau gincu berkilat ringan. Utamakan rona semula jadi seperti rona kulit, merah jambu lembut atau peach bagi mengekalkan penampilan yang segar dan manis.
Elakkan penggunaan gincu matte kerana ia boleh menyebabkan bibir kelihatan kering dan kurang selesa, terutamanya jika dipakai dalam tempoh yang lama.
Sentuhan akhir
Akhiri solekan anda dengan ‘setting spray’ jenis lembap bagi mengekalkan kelembapan kulit dan memberikan kemasan yang segar serta tampak lebih ‘hidup.’
Dari segi gaya rambut, penampilan clean girl makeup sering dikaitkan dengan sanggul kemas berkilat, tocang rapi atau ikatan ekor kuda yang terurus.
Cukup sekadar menambah aksesori ringkas seperti subang emas kecil atau rantai halus untuk menyerlahkan aura sofistikated tanpa kelihatan berlebihan.
© New Straits Times Press (M) Bhd