Istanbul: Sekurang-kurangnya 58,479 rakyat Palestin maut dalam serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, menurut Kementerian Kesihatan pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut kenyataan kementerian itu, 93 mayat dibawa ke hospital dalam tempoh 24 jam lepas, manakala 278 orang cedera, menjadikan jumlah keseluruhan kecederaan kepada 139,355 orang akibat serangan berterusan Israel.
“Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalanan kerana pasukan penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka,” jelas kenyataan itu.
Kementerian turut memaklumkan yang enam rakyat Palestin terbunuh dan lebih 29 lagi cedera ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan yang terbunuh semasa mendapatkan bantuan kepada 844 orang, dengan lebih 5,604 cedera sejak 27 Mei.
Tentera Israel menyambung semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, menyebabkan 7,656 orang terbunuh dan 27,314 cedera, sekali gus menamatkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang bermula pada Januari.
Pada November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangannya ke atas wilayah itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd