Angka korban hujan lebat di Itali meningkat 13 orang

Angka korban hujan lebat di Itali meningkat 13 orang

ROM – Hujan lebat mulai reda di wilayah Emilia-Romagna Itali tetapi sebahagian besar kawasan itu masih di bawah air.

Bencana alam itu menyebabkan angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh meningkat kepada sekurang-kurangnya 13 orang dengan berpuluh-puluh orang masih hilang, lapor media tempatan.

Rakaman video dari Khamis menunjukkan jalan-jalan di Sant’Agata sul Santerno dan di beberapa bahagian bandar tepi laut Ravenna dinaiki air sepenuhnya.

Wilayah utara-tengah negara itu yang merangkumi bandar Bologna dan Modena dilanda hujan lebat pada Selasa dan Rabu, menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh.

Pasukan penyelamat membantu memindahkan orang ramai dari atas bumbung dan tingkat atas bangunan kediaman.

Menurut Jabatan Perlindungan Awam, sebahagian besar Emilia-Romagna masih dalam zon “berjaga-jaga merah” pada hari Khamis, dengan sebahagian daripada banyak wilayah lain- dari Lombardy di utara ke Basilicata di selatan berada dalam zon kuning iatu berjaga-jaga.

Amaran cuaca buruk kekal berkuat kuasa di kebanyakan kawasan utara-tengah Itali sekurang-kurangnya hingga tengah malam Sabtu ini.

Jabatan itu juga berkata, lebih daripada 280 tanah runtuh telah dilaporkan, dengan 200 jalan ditutup, dan 23 sungai telah melimpahi tebing.

Menurut laporan berita, lebih daripada 10,000 orang di kawasan itu dipaksa keluar dari rumah mereka dan berpuluh-puluh ribu orang tidak mempunyai bekalan elektrik.

Dalam satu kenyataan, syarikat elektrik Enel berkata, kira-kira 700 juruteknik telah dihantar ke kawasan-kawasan terjejas untuk membantu memulihkan bekalan.

Stefano Bonaccini, Presiden wilayah Emilia-Romagna menganggarkan kerosakan di wilayah itu mencecah “beberapa bilion euro” .

Menteri Alam Sekitar dan Keselamatan Tenaga, Gilberto Pichetto Fratin pula berkata, kerajaan akan meminta Suruhanjaya Eropah memberikan akses kepada Dana Perpaduan Kesatuan Eropah untuk menyokong usaha bantuan dan pembinaan semula di rantau itu, menurut agensi berita ANSA.

Kerajaan telah memanggil mesyuarat kabinet tergempar untuk Selasa depan dan dijangka pengisytiharkan keadaan darurat di Emilia-Romagna akan diumumkan, status yang akan membuka kunci dana kerajaan dan memberi pegawai tempatan kuasa tambahan untuk melaksanakan langkah kecemasan. – Agensi