Washington: Sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu, perang merebak ke seluruh wilayah dan kematian dilaporkan berlaku di negara sekitar Timur Tengah.
Angka yang terkorban itu berdasarkan jumlah yang dikeluarkan oleh kerajaan, tentera, pihak berkuasa kesihatan dan organisasi penyelamat di negara yang terjejas.
Iran
Kementerian kesihatan Iran pada 8 Mac memaklumkan lebih 1,200 individu terkorban, termasuk kira-kira 200 wanita dan 200 kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, dengan lebih 10,000 orang awam cedera.
Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (HRANA) yang berpangkalan di AS pada 11 Mac memaklumkan sekurang-kurangnya 1,825 individu terkorban, termasuk 1,276 orang awam antaranya sekurang-kurangnya 200 kanak-kanak, serta 197 anggota tentera dan 352 individu yang statusnya tidak diklasifikasikan.
Israel
Israel dan pihak berkuasa negara itu melaporkan 14 individu terkorban secara keseluruhan.
Responden pertama dan pihak berkuasa tempatan berkata, tembakan peluru berpandu Iran membunuh 12 individu di dalam negara, termasuk empat kanak-kanak bawah umur, sejak permulaan perang, menurut pengiraan AFP berdasarkan pengumuman mereka.
Tentera Israel secara berasingan mengumumkan kematian dua tentera dalam pertempuran di selatan Lubnan.
Lubnan
Lubnan pada Jumaat memaklumkan sekurang-kurangnya 773 individu terkorban di Lubnan sejak 2 Mac, termasuk 103 kanak-kanak ketika pertempuran antara Israel dan Hizbullah.
Tentera Lubnan berkata, tiga tenteranya sudah terbunuh.
Hizbullah tidak mengumumkan angka kematian pihaknya.
Teluk
Pihak berkuasa di negara Teluk dan Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) melaporkan 26 individu terkorban, 11 daripadanya orang awam sejak permulaan serangan Iran.
Selebihnya yang terbunuh adalah anggota tentera atau keselamatan, termasuk tujuh anggota perkhidmatan AS.
Kementerian ketenteraan dan kesihatan Kuwait melaporkan enam kematian terdiri daripada dua tentera, dua pengawal sempadan dan dua orang awam, seorang daripadanya seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Kementerian Pertahanan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaporkan enam kematian, empat orang awam dan dua anggota tentera yang maut akibat nahas helikopter yang dipersalahkan atas kerosakan teknikal.
Agensi pertahanan awam Arab Saudi melaporkan dua kematian orang awam.
Kementerian Dalam Negeri Bahrain juga mencatatkan dua kematian.
Pusat keselamatan maritim Oman melaporkan kematian seorang pelaut di laut dan dua individu lain dalam serangan dron di kawasan perindustrian.
Sementara itu, kementerian dalam negeri Qatar melaporkan 16 kecederaan dan tiada kematian.
CENTCOM mengesahkan enam kakitangan perkhidmatan AS terbunuh di Kuwait dan seorang terbunuh di Arab Saudi.
Iraq
Kumpulan bersenjata dan pegawai berkata sekurang-kurangnya 46 individu terbunuh di Iraq sejak permulaan konflik, menurut pengiraan AFP berdasarkan pengumuman mereka.
Perancis berkata dron Iran membunuh seorang tentera Perancis di wilayah autonomi Kurdistan Iraq.
Tentera AS berkata, sebuah pesawat mengisi minyak terhempas di barat Iraq, mengorbankan kesemua enam anak kapal, dalam insiden yang bukan disebabkan oleh tembakan bermusuhan atau mesra.
Puak bersenjata pro-Iran dan sumber keselamatan berkata 32 pejuang yang disokong Iran terbunuh dalam serangan yang mereka salahkan kepada AS dan Israel.
Kumpulan Kurdish berkata, sekurang-kurangnya lima pejuang Kurdish Iran terbunuh dalam serangan yang dikaitkan dengan Iran ke atas kedudukan mereka di utara.
Sumber keselamatan Kurdish berkata, seorang pengawal lapangan terbang terbunuh dalam serangan dron di lapangan terbang Erbil.
Pegawai berkata, seorang orang awam maut terkena serpihan roket berikutan serangan di tenggara Baghdad.
Jordan
Jurucakap tentera Jordan, Brigedier Jeneral Mustafa al-Hiyari berkata, 14 individu cedera di pelbagai tempat di negara itu akibat serpihan yang jatuh dari peluru berpandu dan dron Iran.
Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan.
Syria
Media kerajaan Syria melaporkan lapan individu cedera akibat serpihan yang terjatuh akibat baku tembak antara Iran dan Israel pada Isnin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




