am@hmetro.com.my
Muar: Empat cedera dalam pergaduhan membabitkan 20 individu yang berpunca daripada rasa tidak puas hati berhubung pertaruhan judi di hadapan sebuah surau di Jalan Sakeh di sini, semalam.
Pergaduhan tercetus pada jam 12.45 tengah malam yang mana kumpulan terbabit dipercayai menggunakan senjata tajam menyebabkan empat daripada mereka dikejarkan ke hospital swasta akibat kecederaan dialaminya.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihak menerima maklumat awam berhubung insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan individu.
Beliau berkata, dalam pergaduhan itu, empat suspek berjaya ditahan manakala empat lagi masih menerima rawatan di sebuah hospital.
“Siasatan awal polis mendapati insiden itu tercetus akibat rasa tidak puas hati berkaitan pertaruhan judi hingga membawa kepada pergaduhan.
“Proses mengesan dan menangkap suspek lain sedang dilaksanakan secara berterusan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 kerana merusuh, Seksyen 326 (mendatangkan kecederaan parah) dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan merusuh dengan senjata.
“Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Erwine Pedaron di talian 013-7609454 bagi membantu siasatan.
“Pada masa sama, orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd