am@hmetro.com.my
Gua Musang: Tindakan sudah diambil namun masalah asap di Jalan Gua Musang-Lojing di sini masih lagi berulang disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang melakukan pembakaran di tapak pelupusan sampah.
Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud berkata, Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) sentiasa memandang serius masalah itu dan beberapa langkah segera dilaksana berikutan ia membabitkan keselamatan pengguna jalan raya, selain isu bau busuk.
Katanya, tapak pelupusan sampah itu juga adalah tapak sementara yang disediakan MDGM selepas tapak asal termasuk dalam projek pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
Pihaknya percaya pembakaran di tapak berkenaan dilakukan pencari sampah yang mahu mendapatkan sisa buangan boleh jual seperti logam daripada peralatan elektrik.
“MDGM mengambil beberapa tindakan bagi menangani masalah ini seperti pada Ogos lalu, kita menyediakan tangki air di kawasan terbabit dan menggunakan kaedah water sprinkler untuk memadam kebakaran yang berlaku.
“Selain itu pihak majlis juga dengan menggunakan dana sendiri sudah meninggikan pagar bagi menghalang pencari sampah memasuki tapak pelupusan, tetapi pagar itu pula rosak baru-baru ini akibat ribut dan dalam pembaikan.
“Ini adalah tapak pelupusan sampah sementara yang beroperasi sejak lebih setahun lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai kebimbangan pengguna Jalan Gua Musang-Lojing berhubung masalah asap di kawasan berhampiran tapak pelupusan sampah yang boleh membahayakan nyawa mereka, selain terpaksa menanggung bau busuk.
Mengulas lanjut, Nik Raisnan berkata, penguatkuasaan kerap dilakukan di lokasi terbabit, namun pencari sampah masih meneruskan kegiatan mereka terutama pada waktu malam bagi mengelak dicekup.
Beliau memberi amaran kepada pihak berkenaan agar tidak meneruskan kegiatan itu atau berdepan tindakan undang-undang.
“Kita harap mereka lebih prihatin dan menjadi masyarakat bertanggungjawab,” katanya.
Bagi tindakan jangka panjang, Nik Raisnan berkata, MDGM dalam usaha mendapatkan peruntukan daripada kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyelenggara tapak pelupusan sampah itu dan laluan masuk yang lebih baik.
“Diharapkan juga kerajaan mempertimbang pengoperasian semula tapak pelupusan asal demi keselesaan pengguna Jalan Gua Musang-Lojing dan penduduk sekitar,” katanya.
Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke e-mel Suara Anda Kami Dengar di am@hmetro.com.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd