
Trump telah menyebabkan konflik Amerika Syarikat (AS) dengan Iran menelan kos melampau tinggi dianggarkan berjumlah AS$500 juta (RM1.9 bilion) sehari.
KEGILAAN berperang Presiden Donald Trump telah menyebabkan konflik Amerika Syarikat (AS) dengan Iran menelan kos melampau tinggi dianggarkan berjumlah AS$500 juta (RM1.9 bilion) sehari.
Penganalisis percaya, sebanyak AS$31 bilion (RM123 bilion) sudah dibazirkan sepanjang tempoh lima minggu kempen pengeboman di bawah Operasi Epic Fury yang dilancarkan bersama Israel pada 28 Februari lalu.
Kempen pencerobohan Trump yang membabi buta dan tanpa objektif jelas itu telah menyebabkan beban kewangan yang berat kepada Washington.
Felo kanan dari badan pemikir, American Enterprise Institute (AEI), Elain McCusker mendakwa, kira-kira AS$2.1 bilion (RM8.4 bilion) hingga AS$3.6 bilion (RM14.3 bilion) mungkin telah digunakan untuk menggantikan peralatan ketenteraan yang rosak atau musnah akibat serangan balas Iran.

Pesawat pengawasan dan kawalan Boeing E-3 Sentry merupakan salah satu aset paling mahal kepunyaan AS.
Perbelanjaan paling tinggi terpaksa ditanggung AS termasuk membaik pulih sistem amaran awal peluru berpandu balistik di Qatar yang dibedil dron Teheran dan kapal pengangkut pesawat, USS Gerald R Ford yang mengalami kerosakan akibat insiden kebakaran di bilik dobi.
Peruntukan yang besar juga diperlukan untuk membaiki sistem amaran awal dan kawalan udara Boeing E-3 Sentry bernilai AS$700 juta (RM2.8 bilion) yang rosak teruk di Pangkalan Udara Putera Sultan berhampiran Riyadh.
Hilang banyak aset
Dua sistem radar yang terkena serangan di Jordan dan Qatar merupakan antara aset penting AS yang mengalami kerosakan.
Keadaan itu bukan sahaja memerlukan kerja penyelenggaraan yang menelan perbelanjaan besar malah turut menjejaskan keupayaan Washington untuk mengesan dan bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu.

Imej satelit menunjukkan pelabuhan Jebel Ali di Dubai dibedil sebagai respons terhadap serangan ganas AS bersama Israel.
Iran juga dipercayai telah menembak jatuh lebih 12 dron MQ-9 Reaper dan F-15E yang mencetuskan operasi mencabar bagi menyelamatkan dua kru di kawasan pergunungan di barat daya Teheran pada awal bulan lalu.
Selain itu, AS kehilangan tiga jet F-15E akibat insiden tersalah tembak di ruang udara Kuwait dan pesawat pengisi bahan api, KC-135 yang terhempas di Iraq.
Operasi tersebut menyaksikan sekurang-kurangnya 13 askar Amerika terbunuh manakala 373 anggota cedera.

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara selepas letupan kuat menggegar Manama susulan serangan balas dilancarkan Iran.
Penganalisis memberi amaran kos jangka panjang perang tersebut mungkin terletak pada kehilangan sistem komunikasi penting yang diperlukan untuk memantau ancaman berpotensi di luar konflik semasa terutamanya dari China yang mungkin lebih berani untuk cuba menawan Taiwan ketika perhatian dan sumber AS tertumpu di tempat lain.
Sebelum gencatan senjata sementara berkuat kuasa, Pentagon dilaporkan pernah meminta bajet tambahan berjumlah AS$200 bilion (RM794 bilion) daripada Kongres atas alasan untuk membiayai kelangsungan operasi mereka di Iran.



