Angkasa labur RM450 juta sedia rumah untuk ahli B40

Angkasa labur RM450 juta sedia rumah untuk ahli B40

BACHOK: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) melabur sebanyak RM450 juta pada tahun ini bagi menyediakan rumah mampu milik kepada ahlinya yang tergolong dalam kalangan B40.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, kira-kira 300 ahlinya yang masih belum memiliki rumah dan menghadapi kesukaran membuat pinjaman kewangan dengan syarikat kewangan bakal menerima manfaat tersebut.

Menurutnya, rumah banglo itu akan dijual serendah RM50,000 seunit, RM199,000 dan RM249,000 berasaskan keupayaan ahli untuk membelinya.

“Projek ini digerakkan oleh Angkasa Bina Sdn. Bhd. selaku anak syarikat MyAngkasa Holding Berhad dengan kerjasama cawangan koperasi di negeri tertentu.

“Ia termasuk Projek MyAngkasa Villa di Felda Sungai Mas, Pengerang Johor, Felda Keratong Satu, Dua dan Lima, Rompin, Felda Kerteh, Felda Tenggaroh dan banyak lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek MyAngkasa Villa di Kampung Lubok Nibong, dekat sini hari ini.

Abdul Fattah memberitahu, anggota koperasi yang memiliki tanah pembangunan dan sukar mendapatkan pinjaman namun berkelayakan akan diberi keutamaan walaupun tidak memiliki penyata gaji bulanan.

Katanya, Angkasa menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada terutama kepada generasi kedua Felda dalam menyediakan kediaman selesa, luas dan mampu milik.

“Pasukan MyAngkasa Villa juga telah bekerjasama dengan Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan sudah memberikan taklimat berkait kepada pemilik-pemilik tanah di bawah selian agensi itu di Langkawi mengenai projek ini.

“Dua model rumah MyAngkasa Villa yang di Kampung Lubuk Nibong itu dilaksanakan menerusi kerjasama Koperasi Warga Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan Berhad,” ujarnya.

Abdul Fattah berkata, pihaknya turut mengamalkan kaedah jual beli berasaskan konsep Islam dengan fokus manfaat kepada pembeli (ahli) dan penjual (Angkasa) menerusi khidmat rundingan secara berterusan.-UTUSAN