lokman.khairi@hmetro.com.my
Batu Kawan: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) memperkukuh peranan koperasi sebagai pemacu ekonomi komuniti dalam sektor pelancongan melalui penyertaan dalam Karnival Jom Heboh (KJH) di Stadium Negeri, di sini.
ANGKASA dalam kenyataan berkata, sebanyak 20 pempamer koperasi merangkumi aktiviti pelancongan dari seluruh negara mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan.
Menurut kenyataan itu, penyertaan berkenaan dilaksanakan melalui Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan (SPPDK) sebagai menyokong aspirasi kerajaan menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Antara produk dan perkhidmatan yang dipamerkan termasuk homestay, kraftangan, makanan tradisional serta pelbagai pakej pelancongan komuniti yang berpotensi menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Menurut ANGKASA, penganjuran karnival itu juga bertujuan memperluas promosi produk koperasi, meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan koperasi serta menjana peluang ekonomi dan pekerjaan.
Selain itu, ia turut menjadi platform memperkukuh jaringan perniagaan antara koperasi bagi memperkasa sektor pelancongan komuniti secara menyeluruh.
“Sepanjang karnival berlangsung selama tiga hari sehingga hari ini, pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung termasuk pameran dan jualan produk, sukan rakyat, sesi sembang santai bersama usahawan koperasi, lelongan produk serta cabutan bertuah.
“Penganjuran pameran ini dijangka memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi tempatan selain meningkatkan kebolehpasaran produk koperasi di peringkat nasional.
“Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan karnival ini sekali gus menyokong produk tempatan serta menggalakkan pembangunan ekonomi berasaskan komuniti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


![Casemiro sebak, emosi dengan layanan penyokong Man United [VIDEO] Casemiro sebak, emosi dengan layanan penyokong Man United [VIDEO]](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/spo-o-casemiro28_HMfield_image_socialmedia.var_1777389958.jpg)

