Angkasawan NASA kongsi gambar pelik di ISS

Angkasawan NASA kongsi gambar pelik di ISS

WASHINGTON: Seorang angkasawan Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) telah mencetuskan kekecohan di media sosial selepas berkongsi sekeping foto menunjukkan objek pelik seperti telur tetapi mempunyai sesungut sedang membesar di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Gambar tersebut dirakam oleh Don Pettit semasa misi Ekspedisi 72 dari 23 September 2024 hingga 18 April 2025. Sejurus selepas gambar itu dikongsi di platform X, rata-rata pengguna media sosial menyatakan rasa ‘gerun’ mereka terhadap rupa fizikal objek berkenaan yang dianggap menyeramkan.

“Bakar saja dengan api!” komen salah seorang netizen manakala seorang lagi menyangka ia adalah telur makhluk asing yang sedang menetas. Ada juga yang menyamakan objek itu dengan makhluk daripada filem sains fiksyen Prey (2017).

Bagaimanapun, Pettit tampil menjelaskan bahawa di sebalik rupa objek yang kelihatan ganas itu, terdapat penjelasan yang sangat ringkas iaitu ia sebenarnya hanyalah sebiji kentang.

Diberi gelaran ‘Spudnik-1’, Pettit mendedahkan bahawa beliau menanam kentang tersebut sebagai sebahagian daripada taman angkasa peribadinya yang dilakukan ketika masa lapang.

“Ini adalah kentang ungu awal, lengkap dengan pelekat Velcro di dalam terarium lampu pertumbuhan saya,” jelas Pettit. 

Beliau menambah bahawa kentang dipilih kerana ia merupakan antara tumbuhan paling efisien dari segi nutrisi berbanding jisim keseluruhan tumbuhan.

Malah, kepentingan kentang dalam misi angkasa turut pernah diangkat dalam buku dan filem The Martian. Menurut Pettit, eksperimen ini penting sebagai persediaan untuk penjelajahan angkasa lepas pada masa hadapan.

Menjawab soalan peminat mengenai perbezaan menanam kentang di angkasa berbanding di Bumi, Pettit berkata, akar tumbuhan akan tumbuh ke semua arah tanpa tarikan graviti. 

Selain itu, semua tumbuhan yang pernah ditanamnya di angkasa membesar jauh lebih perlahan berbanding di Bumi.

Setakat ini, angkasawan di ISS telah berjaya menanam pelbagai jenis buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga. NASA turut merancang untuk menanam lebih banyak hasil tani seperti tomato dan lada dalam masa terdekat. – AGENSI

 

Scroll to Top