'Anifah nak kata saya dalam kocek dia, terpulang padanya' – Mohamad

'Anifah nak kata saya dalam kocek dia, terpulang padanya' – Mohamad

Kimanis: Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin hari ini menyifatkan beliau bertanding sebagai calon underdog atau bukan pilihan mewakili Barisan Nasional (BN) dalam pertembungan sembilan penjuru bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan.

Mohamad berkata, berbanding calon lain terutamanya bekas Menteri Luar, Tan Sri Anifah Aman yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan penyandang, Dr Daud Yusof dari parti WARISAN, beliau antara calon muda yang bertanding di kerusi itu.

Beliau enggan bertelagah dengan Anifah yang juga bekas gurunya yang menyatakan boleh mengalahkannya pada bila-bila masa sekiranya pertandingan itu satu lawan satu.

“Saya akui, dia Ketua UMNO Bahagian (Kimanis) dahulu, saya Ketua Pemuda UMNO Bahagian. Dari segi hierarki, betullah, memang saya di bawah dia. Anak murid ke apa, mungkinlah.

“Tapi dalam politik ini, apabila seseorang itu beralih rumah, meninggalkan perjuangan BN, rakyat boleh menilai kesetiaan dalam perjuangan itu. Dia nak kata saya dalam kocek dia, terpulang kepadanya.

“Saya tak naklah bertelagah benda-benda kecil macam itu. Saya hormat dia sebagai orang tua. Saya nak bagi tahu semua, saya masuk dalam PRN ini sebagai calon underdog.

“Ini kerana, saya antara calon yang muda jika dibandingkan dengan penyandang, ADUN Warisan itu,” katanya dalam satu wawancara bersama beberapa media di kediamannya di sini, hari ini.

Semalam, Anifah mengakui Mohamad adalah anak didiknya yang beliau bawa ketika bersama UMNO sehinggalah menjadi calon bagi kerusi Parlimen Kimanis.

Anifah berpandangan, sekiranya pertandingan PRN Sabah ke-17 membabitkan dua penjuru, beliau boleh menewaskan Mohamad pada bila-bila masa.

Dalam PRN Sabah yang berlangsung 29 November ini, Mohamad bakal berdepan saingan sembilan penjuru termasuk menentang Anifah.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, segala pembangunan di Parlimen Kimanis yang mempunyai DUN Bongawan dan Membakut di bawahnya adalah semasa era BN memerintah negara ini.

“Jangan lupa, itu adalah jasa kerajaan BN. Sehingga hari ini, alhamdulillah kita banyak pembangunan.

“Biarlah rakyat membuat penilaian. Insya-Allah, berdasarkan kepada kesetiaan perjuangan, berdasarkan prestasi semasa, kita cukup optimis masuk gelanggang pilihan raya ini walaupun sebagai underdog, tapi rakyat akan menilai itu,” katanya.

Mohamad berkata, beliau akan terus memperjuangkan isu pendidikan, infrastruktur jalan raya, menambah fasiliti serta mengubah Pekan Bongawan.

“Apa yang penting kita di sini ialah untuk kita menambahkan fasiliti kepada rakyat. Di Pekan Bongawan cuma ada satu masjid sahaja. Kepadatan penduduk itu sudah terlalu tinggi.

“Alhamdulillah atas usaha saya, saya telah berjaya mendapatkan sebuah lagi masjid. Masjid kedua Pekan Bongawan yang telah diluluskan bernilai RM4 juta dan proses pembinaannya akan dimulakan setelah selesai pelan pembangunan diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Katanya, satu bangunan baru turut akan dibina sebagai Arked Kebudayaan Bongawan.

“Bongawan ini antara produknya ialah pelancongan. Banyak yang mengusahakan inap desa dan river cruise. Muzik tradisional gambus yang terkenal seluruh negeri Sabah ialah dari Bongawan.

“Kemudian kuih tradisional yang begitu banyak. Jadi, saya wujudkan Arked Kebudayaan Bongawan itu untuk kita tempatkan semua aktiviti, produk kebudayaan dan produk-produk orang kampung supaya kita boleh perkenalkan imej Bongawan itu ke persada dunia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top