ATLET angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan dan atlet memanah, Nurul Azreena Mohammad Fazil dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2024 pada Selasa.
Mereka yang beraksi di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum ini membawa pulang sijil, trofi, piala pusingan serta wang tunai RM1,000 yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Anesee Ibrahim pada Majlis Anugerah Sukan (MAS) UiTM 2024 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Shah Alam.
Aniq mencipta rekod tersendiri apabila dinobatkan Olahragawan UiTM buat tahun ketiga berturut-turut mengetepikan pencabar Khairul Naim Zainal (kayak), Mohamad Syafiq Md Ariffin (memanah), Muhammad Hariz Adlan Azman (boling padang), Mohammad Muqri Mohamad Sapny (petanque).
“Ini batu loncatan untuk saya terus mencipta kejayaan bawa nama UiTM dan Malaysia di pentas dunia,” katanya selepas majlis berkenaan.
Sementara itu, Nurul Azreena tampil membuktikan keunggulan dan kaliber luar biasa, menjadi simbol ketekunan, disiplin serta daya juang atlet wanita menewaskan Anis Amira Rosidi (berbasikal) Aleena Ahmad Nawawi (boling padang) Nur Ain Nabilah Tarmizi (boling padang) dan Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali (petanque).
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur, dan tidak menjangkakan kerana UiTM mempunyai ramai atlet juga yang berkualiti,” kata Nurul Azreena.
Selain itu, antara kategori lain dipertandingkan termasuk Anugerah Khas, Anugerah Emas, Anugerah Perak, Anugerah Gangsa, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah ‘Hall of Fame’ Atlet UiTM, Anugerah Tokoh Sukan Alumni, Anugerah Tokoh Sukan Berjasa, Anugerah Pengurus Cemerlang, Anugerah Jurulatih Cemerlang, Anugerah Pasukan Terbaik, Anugerah Kelab Terbaik, Anugerah Sijil Penghargaan, Anugerah Jasamu Dikenang, Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Staf.