Aniq Suhair hampir 'burn out' kerana jadual kerja padat

Aniq Suhair hampir 'burn out' kerana jadual kerja padat

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, Aniq Suhair mendedahkan hampir ‘burn out’ (keletihan melampau) kerana jadual kerja padat memandangkan dia melakukan beberapa kerja dalam satu masa.

Aniq, 25, ketika ditemui di sidang media pelancaran filem Zero menasihatkan mereka yang berdepan situasi sama agar mencari masa untuk berehat.

“Sebenarnya saya hampir ‘burn out’. Saya buat dua, tiga kerja dalam satu masa. Tapi, bila saya fikir balik, jadi seorang pelakon memang begitu.

“Apabila saya bandingkan diri saya sebagai seorang pelakon dengan orang di luar sana yang buat lebih banyak kerja dalam satu masa, saya faham diri mereka yang lebih ‘burn out’. Saya hampir ke tahap itu.

“Cuma, saya nasihatkan jangan terlalu kerja keras sangat. Kalau rasa tak larat, nak ‘burn out’ atau apa, jangan terlalu paksa sampai tak boleh. Jadi, kesihatan itu kena jaga,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai caranya menangani situasi itu, Aniq berkata, dia lebih selesa untuk meluangkan masa mendekati alam dan mengurangkan ‘screen time’ bersama peranti elektronik.

“Saya akan ambil masa untuk berehat macam mana saya selalu buat sebelum ini, contohnya tiga atau empat bulan, sampai saya betul-betul bersedia untuk kembali bekerja.

“Saya akan buat aktiviti yang saya suka antaranya memanjat gunung, pergi ke pantai, menyelam dan sebagainya. Walaupun tak semuanya saya kongsikan di media sosial, itu yang saya buat sebenarnya.

“Keluar dari kerja dan cari ketenangan sekejap. Saya rasa saya perlukan ketenangan itu dan dapatkan tenaga balik,” katanya.

Aniq bakal memulakan penggambaran filem Zero arahan pengarah Andre Chiew pada Disember ini.

Selain Aniq, Zero turut dibintangi Hun Haqeem, Fabian Loo, Harissa Adlynn, Iedil Dzuhrie Alaudin, Tony Eusoff dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top