Aniq Suhair kongsi kenangan akhir bersama Allahyarham Dharma

Aniq Suhair kongsi kenangan akhir bersama Allahyarham Dharma

Kuala Lumpur: Pelakon Aniq Suhair tidak menyangka telefilem Ayah yang menggandingkannya dengan Allahyarham Dharma Harun Al Rashid adalah naskhah terakhirnya bersama legenda itu.

Aniq yang membawakan watak anak kepada Dharma berkata, dia terkejut sebaik menerima berita pemergian pelakon veteran itu, malam tadi.

“Saya rasa sangat sayu mengenangkan pemergian sebutir permata berharga dalam industri. Pada masa sama, saya bertuah kerana dapat berkongsi set dengan arwah,” katanya kepada BH Online.

Aniq berkata, dia masih sempat berjumpa anak arwah, Muhammad Al Syafiq, baru-baru ini dan bertanyakan perkembangan kesihatan bapanya.

“Syafiq maklumkan ayahnya dalam keadaan baik, jadi apabila menerima berita pemergian arwah, saya sangat terkejut dan terkilan,” katanya.

Bagi Aniq, Allahyarham Dharma bukan sekadar figura legenda yang dihormati, malah seorang insan penuh budi pekerti dan rendah diri.

“Arwah bukan hanya seorang pelakon hebat, tetapi juga guru penuh pengalaman dan kasih sayang. Walaupun berstatus legenda, arwah sangat merendah diri, suka bergurau dan selalu menceriakan suasana di set.

“Cara arwah menegur, membimbing, menyakat dan berbual membuatkan saya rasa seperti sedang bersembang dengan datuk sendiri. Orangnya lembut, berbudi bahasa dan tidak kedekut ilmu,” katanya.

Allahyarham Dharma yang popular menerusi filem Adik Manja dan Sikit Punya Gila, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Wangsa Maju, semalam.

Berita duka itu dimaklumkan Syafiq menerusi hantaran di Instagram Story (IGs).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top